Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Adakah Dusuki dilantik kerana 'budi' pada Zahid, tanya Mas Ermieyati

PARLIMEN | Ahli parlimen pembangkang hari ini mempersoalkan apakah pelantikan Mohd Dusuki Mokhtar sebagai peguam negara (AG) merupakan ganjaran atas peranannya membolehkan Ahmad Zahid Hamidi dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) dari mahkamah.

Berbahas di Dewan Rakyat hari ini, Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) berkata, pelantikan Mohd Dusuki menjadi cakap-cakap dalam kalangan orang ramai.

Hal itu kerana, katanya, Mohd Dusuki sebelum ini merupakan ketua bahagian rayuan dan perbicaraan di Jabatan Peguam Negara (AGC) dan terlibat dalam memberikan hujah-hujah untuk membebaskan Ahli Parlimen Bagan Datuk berkenaan.

"Dan adakah disebabkan oleh budi beliau, beliau dapat (jawatan)? Yang ini kata-kata orang ya.. kata-kata di luar sana.

"Adakah disebabkan oleh budi, dia dapat jadi peguam negara?" katanya semasa membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2025 hari ini.

Semalam, pelantikan Mohd Dusuki sudah dikritik Bersih berdasarkan penglibatannya dalam DNAA yang diberikan kepada Ahmad Zahid berhubung kes rasuah membabitkan Yayasan Akalbudi pada tahun lalu.

Mohd Dusuki Mokhtar

Sehari sebelum itu, Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar, mengumumkan Mohd Dusuki akan menggantikan Ahmad Terrirudin Mohd Salleh sebagai AG baru.

Mas Ermieyati turut memetik ucapan Azalina Othman Said dalam program Umno pada 2022 yang berkata, perdana menteri ketika itu, Ismail Sabri Yaakob, mesti melantik salah seorang "orang kita" untuk jawatan AG.

"Jadi inilah hasilnya, dia (AG) adalah salah seorang daripada mereka," kata Mas Ermieyati.

Selepas perbahasan ketua Srikandi Bersatu itu, Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) bangkit mengemukakan Peraturan Mesyuarat 36(6) terhadap Mas Ermieyati.

Perintah itu menyatakan bahawa tiada ahli Dewan Rakyat boleh mengaitkan motif tidak wajar kepada seseorang ahli lain.

Shahar mengkritik Mas Ermieyati kerana didakwanya berhujah berdasarkan hearsay (khabar angin) dan menegaskan bahawa dia sepatutnya lebih tahu sebagai pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

"Adakah yang berhormat suka mengambil perkara yangg hearsay untuk membawa (isu) ke dalam dewan?

“You (kamu) sebagai pengerusi PAC, sepatutnya kalau yang berhormat betul-betul (ada maklumat), gunakan media di luar," katanya.

Timbalan speaker Alice Lau kemudian menasihatkan Shahar supaya memfailkan usul itu ke pejabat speaker.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS