Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Elon Musk dilantik sebagai ketua jabatan kecekapan kerajaan yang baru

Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengumumkan bilionair Elon Musk akan mengetuai Jabatan Kecekapan Kerajaan yang baru bersama bekas calon presiden Republikan Vivek Ramaswamy, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Trump dalam kenyataan di platform Truth Social miliknya memaklumkan bahawa Musk dan Ramaswamy "akan membuka jalan kepada pentadbiran saya merombak birokrasi kerajaan, mengurangkan peraturan berlebihan, memotong perbelanjaan membazir dan menyusun semula agensi persekutuan."

Musk, pengasas Tesla dan SpaceX serta pemilik X, merupakan penderma utama kepada Trump semasa kempen presidennya.

Dalam perkembangan berkaitan, Trump pada Selasa mengumumkan bahawa hos Fox News dan veteran tentera Pete Hegseth telah dicalonkan untuk berkhidmat sebagai setiausaha pertahanan AS yang baru.

Trump memuji Hegseth sebagai "pahlawan untuk tentera dan negara", menekankan ketegasannya serta kepercayaan kuatnya terhadap dasar "America First."

"Dengan Pete menerajui, musuh Amerika akan diberi amaran," kata Trump dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Trump turut mengesahkan laporan media bahawa Gabenor Dakota Selatan Kristi Noem akan memegang jawatan setiausaha Keselamatan Dalam Negeri AS dalam pentadbiran barunya, lapor Sputnik/RIA Novosti.

"Saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa gabenor dan bekas ahli Kongres dari Dakota Selatan Kristi Noem akan dilantik untuk berkhidmat sebagai setiausaha Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS). Kristi sangat tegas dalam keselamatan sempadan.

"Dia adalah gabenor pertama yang menghantar anggota pengawal kebangsaan untuk membantu Texas menangani Krisis Sempadan Biden," kata Trump dalam satu kenyataan pada Rabu.

–Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS