Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan, pemimpin politik ucap takziah buat keluarga Daim
Diterbitkan:  Nov 13, 2024 12:21 PM
Dikemaskini: 6:00 AM

Kerajaan hari ini merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Daim Zainuddin yang meninggal dunia pada usia 86 tahun, pagi tadi.

“Saya bagi pihak kerajaan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham,” kata Menteri Komunikasi, merangkap jurucakap Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil.

“Kita doakan agar keluarga Tun Daim bersabar dalam menghadapi dugaan cukup besar ini, takziah,” katanya selepas menghadiri Majlis Jasamu Dikenang Kementerian Komunikasi 2024 di Putrajaya hari ini.

Sementara itu , para pemimpin politik sama ada dari blok kerajaan atau pembangkang merakamkan rasa sedih serta kehilangan atas pemergian bekas menteri kanan, Daim Zainuddin.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang misalnya dalam catatan di Facebook merakamkan takziah dan menyifatkan Daim sebagai seorang yang banyak berjasa kepada negara.

"Almarhum merupakan mantan Menteri Kewangan Malaysia dan mantan pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan yang sangat besar jasanya kepada negara.

"Semoga almarhum ditempatkan dalam kalangan para solihin dan dilimpahkan dengan rahmat Allah SWT serta kurnia daripada-Nya," kata Ahli Parlimen Marang itu.

Presiden Amanah Mohamad Sabu turut menyatakan rasa dukacita susulan pemergian taikun perniagaan berkenaan.

"Dengan rasa dukacita yang mendalam, Bang Mat rakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Tun Daim.

"Allahyarham banyak berjasa kepada negara ketika diamanahkan menjadi menteri kewangan dahulu.

"Kehilangannya merupakan satu kehilangan besar, bukan sahaja kepada keluarga dan rakan-rakan, tetapi juga kepada seluruh masyarakat yang menghargai sumbangannya," katanya yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan bekas menteri kewangan berusia 86 tahun itu meninggal dunia di Hospital Assunta di Petaling Jaya, Selangor pagi ini.

Peguamnya, Gurdial Singh Nijar, mengesahkan perkara itu kepada Malaysiakini.

Pernah berkempen bersama

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Na’imah Abdul Khalid dan lima cahaya mata.

Daim pertama kali dilantik menjadi menteri kewangan pada 1984 oleh perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad. Dia berkhidmat sehingga 1991.

Dia sekali lagi dilantik ke jawatan itu pada 1999, juga oleh Mahathir, sebelum meletakkan jawatan pada 2001.

Daim pernah menjadi ahli Umno dan pernah menjadi ahli Parlimen selama lima penggal, dari 1982 hingga 1999 (di Kuala Muda untuk sepenggal, dan di Merbok untuk empat penggal).

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong, turut bersedih dan mengenang detik-detik mereka pernah berkempen bersama menjelang PRU ke-14.

Ketika itu - pada 2018 - Liew berkata, Daim turun padang membantunya berkempen di Ayer Hitam, Johor.

"Bagi saya, Tun Daim adalah orang berpengetahuan tinggi dalam pelbagai bidang, termasuk dunia korporat, ekonomi dan politik.

"Allahyarham juga mempunyai hubungan yang luas dan rapat dengan banyak pemimpin luar negara," katanya yang juga timbalan setiausaha agung DAP.

Sementara itu Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, mengambil kesempatan mengucapkan salam takziah buat keluarga Daim.

"Salam takziah saya sampaikan buat keluarga Allahyarham Tun Daim Zainuddin.

“Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang beriman," tulisnya di Facebook.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS