Menyambut khabar duka pemergian sahabatnya - Daim Zainuddin - bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mengutuskan doa agar pemimpin itu diberikan "keadilan".
Dalam hantaran ringkas melalui media sosial pagi ini, Mahathir jelas menunjukkan rasa kecewa atas apa yang berlaku ke atas Allahyarham Daim.
"Ya Allah. Adililah Daim berasas keadilan. Berilah tempat kepadanya di akhirat sebagai pejuang bangsa.
"Saya hanya mampu berdoa. Akan kita bersama kembali di masa tertentu. Amin, Ya rabbal alamin," katanya.
Terdahulu Malaysiakini melaporkan bekas menteri kewangan berusia 86 tahun itu meninggal dunia di Hospital Assunta di Petaling Jaya, pagi tadi.
Peguam Daim, Gurdial Singh Nijar, mengesahkan perkara itu kepada Malaysiakini.
Allahyarham yang bermula sebagai tokoh korporat sebelum dibawa masuk menyertai politik oleh Mahathir itu meninggalkan seorang isteri, Na’imah Abdul Khalid dan lima cahaya mata.
Daim pertama kali dilantik menjadi menteri kewangan pada 1984 Mahathir yang menjadi perdana menteri ketika itu. Dia berkhidmat dalam kabinet sehingga 1991.
Daim sekali lagi dilantik ke jawatan itu pada 1999 - juga oleh Mahathir - sebelum meletakkan jawatan pada 2001.
Tokoh yang selalu mencuri perhatian ramai itu pernah menjadi ahli Umno dan pernah menjadi ahli Parlimen selama lima penggal (1982 hingga 1999) iaitu untuk kerusi Kuala Muda selama sepenggal, diikuti di Merbok untuk empat penggal.
Hubungan akrab di antara kedua-dua mereka sekali lagi terzahir apabila Mahathir - semasa menjadi perdana menteri buat kali kedua pada 2018 - melantin Daim sebagai pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan.
Mahathir berkata, dia kehilangan sahabat yang berjuang bersama-samanya untuk bangsa, negara dan agama.
"Saya sedih tidak terhingga. Sepatutnya dia disanjung kerana sumbangannya kepada perjuangan.
"Tetapi di akhir hayatnya dia diherdik tanpa sebab, tanpa sebab, kerana dendam. Inikah balasan yang menimpa kerana dendam," katanya.
Mutakhir ini Daim menjadi perhatian selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan ke atasnya berhubung dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram.
Dia turut didakwa di mahkamah atas kegagalan mematuhi notis SPRM untuk mengisytiharkan aset meliputi 38 syarikat, 25 bidang tanah dan hartanah, tujuh kenderaan mewah dan dua akaun dana pelaburan.
Pada Disember tahun lalu, SPRM menyita Menara Ilham, sebuah bangunan komersial bernilai tinggi miliknya.
Na’imah turut didakwa di mahkamah atas dakwaan serupa, manakala Lembaga Hasil Dalam Negeri mendakwa dia memiliki tunggakan cukai berjumlah RM313 juta.