Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Daim Zainuddin meninggal dunia
Diterbitkan:  Nov 13, 2024 9:32 AM
Dikemaskini: 5:00 AM

Bekas menteri kewangan Daim Zainuddin meninggal dunia di Hospital Assunta di Petaling Jaya, pagi ini.

Peguamnya Gurdial Singh Nijar mengesahkan perkara itu dengan Malaysiakini.

“Ya. Benar dia meninggal dunia. Pengebumian dibuat pagi ini,” katanya ketika dihubungi.

“Dia mengalami strok baru-baru ini dan diletakkan di unit rawatan rapi (ICU). Belum ada maklumat lanjut,” katanya lagi.

Allahyarham meninggal dunia pada usia 86 tahun dan meninggalkan seorang isteri, Na’imah Abdul Khalid dan lima anak.

Taikun perniagaan itu pertama kali dilantik menjadi menteri kewangan pada 1984 oleh perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad. Dia berkhidmat sehingga 1991.

Dia sekali lagi dilantik ke jawatan itu pada 1999, juga oleh Mahathir, sebelum meletakkan jawatan pada 2001.

Daim pernah menjadi ahli Umno dan pernah menjadi ahli Parlimen selama lima penggal, dari 1982 hingga 1999 (di Kuala Muda untuk sepenggal, dan di Merbok untuk empat penggal).

Dikenali sebagai sekutu rapat Mahathir, dia dipecat daripada Umno selepas menyertai ceramah PH di Melaka pada 2018.

Siasatan SPRM

Daim mutakhir ini menjadi perhatian selepas SPRM memulakan siasatan ke atasnya berhubung dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram.

Dia turut didakwa di mahkamah atas kegagalan mematuhi notis SPRM untuk mengisytiharkan aset meliputi 38 syarikat, 25 bidang tanah dan hartanah, tujuh kenderaan mewah dan dua akaun dana pelaburan.

Pada Disember tahun lalu, SPRM menyita Menara Ilham, sebuah bangunan komersial bernilai tinggi miliknya.

Na’imah turut didakwa di mahkamah atas dakwaan serupa, manakala Lembaga Hasil Dalam Negeri mendakwa dia memiliki tunggakan cukai berjumlah RM313 juta.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS