Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melantik tiga ikon bahasa dalam kalangan pempengaruh media sosial, bagi membantu agensi itu memberikan asas penggunaan bahasa yang baik kepada orang awam.
Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Dr Hazami Jahari berkata pempengaruh itu antaranya Dr Malar Santhi Santherasegapan, yang merupakan seorang doktor dan juga aktivis yang kini bertugas di Jabatan Kecemasan Hospital Columbia Asia, Cheras, Selangor.
“Pelantikan ikon ini menunjukkan DBP mahu selari dengan perkembangan semasa, kerana bahasa tidak boleh disebar dengan cara yang lama.
“Kita kena bergerak dengan cara yang baharu tetapi kita harus membimbing, melatih mereka (orang awam) dan insya-Allah, kalau ada keperluan kita juga akan mengadakan sesi pertemuan khusus dengan rakan-rakan media, untuk memberi asas-asas penggunaan bahasa yang baik dan betul kerana media sangat berpengaruh dalam menentukan arah tuju sesuatu perkembangan bahasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Malam Media DBP Bersama Media 2024 di Wisma DBP di Kuala Lumpur malam tadi.
Menurut Hazami lagi, dengan perkembangan media sosial yang kini menjadi pilihan untuk orang ramai berkomunikasi, DBP terus komited untuk memanfaatkan saluran itu secara lebih aktif bagi menampilkan contoh penggunaan-pengunaan bahasa yang baik serta kandungan berkualiti.
- Bernama