Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM tahan warga Bangladesh bergelar 'Datuk'
Diterbitkan:  Nov 13, 2024 8:00 AM
Dikemaskini: 12:00 AM

SPRM menahan seorang warga Bangladesh bergelar "Datuk" atas dakwaan memohon kuota pekerja migran bagi projek yang tidak wujud.

Suspek yang juga pengarah syarikat didakwa membuat dua permohonan kuota melibatkan 600 pekerja.

“Dua permohonan ini melibatkan pembayaran levi kira-kira RM650,000 dan RM460,000,” kata sumber SPRM seperti dipetik FMT.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan sebuah agensi pekerjaan Bangladesh membuat laporan polis yang membabitkan tiga rakyat Malaysia didakwa menyamar sebagai “wakil kerajaan” terlibat dalam siasatan berkaitan pengubahan wang haram, pemerasan dan pemerdagangan manusia terhadap pekerja Bangladesh.

Semakan Malaysiakini mendapati ketiga-tiga individu yang didakwa menyamar sebagai “wakil kerajaan Malaysia” itu memegang gelaran seperti “Datuk Seri,” “Datuk,” dan “Doctor of Business Administration.”

Bagaimanapun salah seorang daripada individu terbabit menafikan tuduhan itu kepada Malaysiakini dengan syarat identitinya dirahsiakan.

Laporan polis tersebut menyebabkan pihak polis Bangladesh mengeluarkan surat kepada cabang Interpol di Malaysia, meminta penangguhan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) yang dimiliki oleh Bestinet Sdn Bhd.

Polis Bangladesh juga memohon perintah ekstradisi terhadap pengasas Bestinet, Aminul Islam Abdul Nor dan rakannya Ruhul Amin.

Permintaan ini dibuat susulan dakwaan terhadap kedua-dua lelaki itu membabitkan pengubahan wang haram, pemerasan dan pemerdagangan manusia pekerja asing.

Pun begitu, Aminul dan Bestinet menafikan tuduhan berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS