Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Laporan SPRM dibuat terhadap bekas pegawai kanan syarikat perlombongan Sabah
Diterbitkan:  Nov 12, 2024 11:37 PM
Dikemaskini: 3:37 PM

Satu laporan dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap bekas pegawai kanan sebuah syarikat perlombongan di Sabah yang didakwa menyalahgunakan kuasa.

Sumber memberitahu FMT, dakwaan itu berkisar hubungan rapat bekas pegawai itu dengan seorang broker dari Semenanjung.

Sumber itu mendakwa hubungan itu bermula sejak pegawai itu bertugas di Jabatan Mineral dan Geosains.

Menurutnya, pakatan sulit antara mereka mendapat perhatian Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor, yang memutuskan tidak memperbaharui kontrak pegawai tersebut, menjadikannya “sangat kecewa”.

“Penamatan kontrak juga membolehkan dilakukan siasatan yang mendapati pelanggaran tatakelola yang baik dan salah guna kuasa.

“Bagi melindungi diri mereka, bekas pegawai kanan dan broker berkenaan menggunakan taktik ugutan seperti rakaman video yang telah dirancang sejak awal.

“Mereka bekerjasama dengan parti politik tertentu untuk meneruskan agenda mereka, dan mereka juga cuba melindungi diri untuk mendapatkan perlindungan di bawah undang-undang pemberi maklumat dengan bertindak sebagai pemberi maklumat dengan tujuan melindungi jenayah mereka,” tambah sumber itu.

Sumber itu berkata Hajiji enggan tunduk dengan cubaan peras ugut berkenaan yang dikatakan bermula beberapa bulan lalu.

Walaupun tiada nama disebut, laporan itu dipercayai ada kaitan dengan bekas ketua pegawai eksekutif Sabah Mineral Management (SMM) Sdn Bhd Jontih Enggihon dan pemberi maklumat yang mengancam untuk mendedahkan skandal rasuah membabitkan lapan Adun di negeri itu.

Awal hari ini, Malaysiakini menyiarkan video yang didedahkan oleh pemberi maklumat yang memaparkan Enggihon mendakwa Hajiji menyalahgunakan kuasanya dan memihak kepada kontraktor tertentu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS