Harimau Malaya, spesies yang semakin terancam, mencatatkan peningkatan kes mangsa roadkill, dengan enam ekor terkorban pada 2023 setakat ini, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad
Beliau berkata insiden kematian akibat dilanggar dijalan raya (roadkill) yang semakin meningkat menunjukkan bahawa habitat semulajadi Harimau Malaya telah terganggu, memaksa haiwan itu keluar dari kawasan perlindungannya.
Tragisnya, beberapa bahagian tubuh Harimau Malaya termasuk taring, kuku dan kulit juga hilang, dipercayai dicuri.
"Dengan bilangan populasi yang dianggarkan kurang daripada 150 ekor, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) terus komited untuk melindungi dan memulihara Harimau Malaya bagi memastikan spesies ikonik yang menjadi simbol Jata Negara ini tidak pupus buat selama-lamanya," katanya dalam kenyataan di Putrajaya hari ini.
Kenyataan itu susulan insiden roadkill melibatkan seekor Harimau Malaya betina di Jalan Raya Timur-Barat Gerik, Perak pada 9 Nov lepas, yang merupakan satu tragedi kepada usaha pemeliharaan hidupan liar.
Nik Nazmi berkata langkah tersebut selaras dengan pelaksanaan sembilan tindakan strategik luar biasa bagi konservasi Harimau Malaya yang telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri pada 21 Jun 2021.
Nik Nazmi berkata komitmen tinggi kerajaan turut dizahirkan antaranya melalui penubuhan Pasukan Petugas Kebangsaan bagi Konservasi Harimau Malaya (National Tiger Conservation Task Force - MyTTF); pengukuhan rondaan penguatkuasaan dan pengawalan (boots on the ground) oleh Renjer Komuniti dan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) dan penubuhan Biro Jenayah Hidupan Liar di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Sejak penubuhan pada 2020, bilangan Renjer Komuniti telah meningkat kepada 1,000 orang pada 2023, 2,000 orang pada 2024, dan akan ditingkatkan lagi kepada 2,500 orang pada tahun hadapan dengan peruntukan sebanyak RM80 juta," kata Nik Nazmi.
Beliau berkata kerajaan juga mengukuhkan usaha dalam memastikan kelangsungan hidup Harimau Malaya melalui Insentif Kewangan bagi Konservasi Biodiversiti dan Hutan (Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation - EFT) kepada negeri-negeri bermula pada 2019 dengan peruntukan sebanyak RM60 juta.
"Di bawah Kerajaan Madani, peruntukan ini telah ditingkatkan kepada RM150 juta pada 2023, RM200 juta pada tahun ini dan RM250 juta pada tahun hadapan," katanya.
Nik Nazmi berkata kerajaan negeri juga digalakkan untuk mengukuhkan pemuliharaan habitat Harimau Malaya melalui skim akreditasi Conservation Assured Tiger Standards (CA|TS).
"Di samping itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia telah menubuhkan Unit Wildlife Cybercrime bagi menjalankan pemantauan dan pengumpulan maklumat aktiviti penjualan haram hidupan liar secara dalam talian," katanya.
Nik Nazmi berkata NRES menggesa masyarakat umum untuk menghubungi pejabat Jabatan Perhilitan terdekat atau talian hotline Jabatan Perhilitan 1-800-88-515 atau talian kecemasan umum PDRM sekiranya mempunyai maklumat mengenai insiden roadkill Harimau Malaya tersebut atau melaporkan kejadian konflik hidupan liar untuk tindakan selanjutnya.
- Bernama