Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini meluluskan usul untuk meminda Perintah Tetap, yang menekankan ketepatan maklumat dirujuk semasa persidangan.
Usul pindaan yang dibentangkan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, diluluskan selepas dibahaskan oleh sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).
Menurut Abdul Karim, cadangan pindaan itu bertujuan menambah baik tadbir urus persidangan DUN dengan memastikan dakwaan yang dibuat dalam dewan dibuktikan dan disahkan.
Beliau berkata melalui pindaan ini, adalah penting untuk menangani perkembangan terkini dan cabaran baru yang tidak dilindungi oleh Peraturan Mesyuarat semasa kedua-dua Parlimen dan DUN di Malaysia.
“Memandangkan landskap perundangan terus berkembang, pindaan ini penting untuk memastikan peraturan yang mentadbir boleh disesuaikan, menyeluruh dan berupaya menangani isu-isu semasa secara berkesan serta mengekalkan integriti persidangan parlimen,” katanya.
Abdul Karim berkata DUN adalah badan perundangan tertinggi negeri dan persidangan harus dijalankan dengan penuh kehormatan, kesungguhan dan kesopanan.
“Apa yang dikatakan dalam dewan dan dilaporkan di luar boleh mempengaruhi perpaduan dan keharmonian masyarakat pelbagai etnik di negeri ini.
“Oleh itu, adalah penting semua perbincangan dan keputusan dewan ini dihormati dan dipatuhi. Salah tafsir terhadap mana-mana yang diungkapkan atau berlaku dalam dewan ini sama ada kepada pihak media atau masyarakat umum perlu dielakkan,” katanya.
- Bernama