Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM: Tiada perlindungan untuk pemberi rasuah
Diterbitkan:  Nov 12, 2024 8:21 PM
Dikemaskini: 12:36 PM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata tiada jaminan perlindungan terhadap pendedah maklumat dalam dakwaan skandal rasuah di Sabah jika dia pemberi rasuah.

Dia menegaskan pemberi rasuah juga perlu disiasat.

"Jadi, jika ada maklumat yang samar-samar termasuk adakah individu pemberi maklumat itu turut terbabit dalam rasuah.

“Ia perlu diteliti dan disiasat, bukan terus memberi perlindungan kepadanya,” katanya seperti yang dipetik oleh Astro Awani hari ini.

Ketika ditanya mengenai skandal Adun Sabah itu, Anwar menjelaskan perlindungan kepada pendedah maklumat hanya diberikan kepada mereka yang benar-benar bersih dan tidak terbabit rasuah.

Seorang ahli perniagaan mendakwa mempunyai lapan video yang memaparkan perbincangan rasuah dalam kalangan Adun Sabah.

Individu tersebut memohon perlindungan sebagai pendedah maklumat daripada SPRM sebagai pertukaran untuk menyerahkan bukti yang dimilikinya.

Dalam surat terbuka kepada Yang di-Pertuan Agong hari ini, pendedah maklumat itu mengakui dia telah memberi rasuah kepada para Adun berkenaan.

Pendedah maklumat itu mendakwa dia terpaksa memberi rasuah dalam keadaan terdesak setelah diberitahu perlu menyogok untuk mendapatkan projek - yang mana dia telah membuat pelaburan besar sebagai persediaan.

Katanya, keputusan bertindak terhadap Adun yang didakwa terbabit rasuah itu supaya mereka tidak lagi dapat memeras pihak lain pada masa hadapan.

Anwar hari ini menyeru semua pihak agar memberi ruang kepada SPRM untuk menyiasat semua yang terlibat dalam kes melibatkan lapan Adun tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS