Keluarga bekas pembantu Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Muhammed Yusoff Rawther hari ini meminta Pejabat Peguam Negara (AGC) tidak menghalang permohonan ahli keluarga untuk membatalkan peruntukan 'tiada ikat jamin' di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ibu saudara Yusoff, Fathimah Mohd Idris berkata, kerajaan tidak boleh bersikap bermuka-muka dalam perkara itu.
"Di satu sudut, kerajaan berusaha memperkenalkan penggubalan akta tahanan rumah, tapi bila kami memohon jamin untuk Yusoff, AGC nak membantah.
"Mengapa nak bantah. Kerajaan tidak boleh bermuka-muka. Kami nak dia (Yusoff) keluar dari penjara sekarang juga," katanya dalam sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH).
Dia berkata demikian susulan kenyataan AGC pada 6 Nov lalu bahawa jabatan itu akan membantah usaha tertuduh mencabar kesahan Seksyen 41B akta tersebut.
Turut hadir dalam sidang media itu ialah peguam Yusoff, Muhammad Rafique Rashid Ali, adik lelakinya, Ibrahim Rawther dan seorang lagi makciknya, Khatijah Mohd Idris.
Rafique yang mewakili Yusoff Rawther berkata anak guamnya sebelum ini ditolak ikat jamin dalam kes mahkamah melibatkan pertuduhan pengedaran dadah yang sedang dihadapinya.
Tertuduh mencabar kesahan Seksyen 41B akta tersebut.
Mahkamah menetapkan pengurusan kes pada 20 Januari berikutan bantahan kerajaan terhadap saman pemula itu.
‘Bukan untuk Yusoff sahaja’
Peguam itu menjelaskan cabaran perlembagaan ini bukan sahaja untuk Yusoff tetapi juga bagi individu lain yang dinafikan ikat jamin dan ditahan selama empat hingga lima tahun sementara kes pengedaran dadah dibicarakan.
Rafique turut kesal apa sesetengah individu dalam tahanan reman akhirnya dibebaskan selepas pendakwaan gagal membuktikan kes jenayah mereka.
Terdahulu, Fathimah menyifatkan Seksyen 41B sebagai akta zalim.
"Ia mungkin mengambil masa bertahun-tahun untuk kes itu dibicarakan. Kejam sekali.
"Mana di dunia yang tamadun kita tak ada budi bicara mahkamah. Mahkamah mesti ada budibicara baru ada keadilan. Tanpa hati perut mana boleh ada keadilan," katanya.
Yusoff, yang juga terlibat dalam tuntutan saman serangan seksual terhadap Anwar, ditahan pada 6 September atas dakwaan memiliki senjata api dan dadah tetapi hanya didakwa dengan pertuduhan mengedar 305g ganja.
Tertuduh berdepan hukuman penjara seumur hidup dan 12 sebatan jika sabit kesalahan.
Yusoff juga menghadapi kes mahkamah berasingan atas dakwaan memiliki dua pistol replika.
Bekas pembantu penyelidik itu boleh dikenakan hukuman penjara setahun, denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya jika didapati bersalah atas pertuduhan memiliki pistol replika.