Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lagi pendedahan – ‘Saya ketua menteri, kamu CEO’ 

Dalam perkembangan terbaru dakwaan skandal rasuah, seorang pemberi maklumat mengeluarkan video tambahan, di samping lapan video perbualan rasuah melibatkan lapan ahli politik.

Menurut pemberi maklumat itu, video itu dikeluarkan untuk perhatian Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

"Saya mahu serahkan semua bukti kepada Tuanku. Saya tidak tahu bagaimana. Oleh itu, saya keluarkan video ini melalui media," katanya.

Video itu menunjukkan bekas ketua pegawai eksekutif Sabah Mineral Management Sdn Bhd Jontih Enggihon menuduh Ketua Menteri Hajiji Noor menyalahgunakan kuasa.  

Menurut pemberi maklumat, video itu dirakam pada 1 Okt dengan persetujuan Enggihon.

Video bermula dengan bekas CEO itu, yang kontraknya tamat pada 31 Ogos tahun ini, mendakwa keputusan-keputusan berkaitan syarikat kerajaan negeri yang dipengerusikan Hajiji, sangat dipengaruhi oleh politik.  

“Banyak keputusan yang saya tidak setuju.

“Buat saya stress (tertekan), terpaksa ikut itu ini, kena suruh itu ini, demi politik,” keluhnya.

Hajiji Noor

Merujuk kepada mesyuarat lembaga pengarah “terkini”, Enggihon berkata ada arahan untuk lima pemegang lesen penerokaan (PL) mencari kawasan lain meskipun hampir dua tahun usaha dijalankan dan jumlah wang yang besar dibelanjakan untuk dua kawasan.

“Jutaan dibelanjakan, pasukan sudah bikin. Pasukan teknikal sudah masuk hutan, mesin sudah beli, pejabat pun sudah ada. Stor pun sudah ada.

“Kereta-kereta pun dah beli. Beli semua. Ada pesan barang mesin berat dari China lagi, dalam perjalanan.

“(Kemudian) disuruh pindah, henti explorasi,” katanya.

Ketika ditanya apa yang mendorong keputusan tersebut, Enggihon mendakwa ia kerana surat bantahan dari seorang kontraktor.

“Terdapat surat dari kontraktor SMLA (Perjanjian Lesen Pengurusan Hutan Lestari).

“Kebetulan, lima lokasi PL terletak di kawasan penanaman semula untuk pembalakan. Ia adalah konsesi pembalakan," tambahnya.

Menjawab soalan lain, Enggihon juga mendedahkan nama “tauke balak” tersebut dan mendakwa bahawa hubungan politiknya diketahui umum.

Malaysiakini tidak menyebut namanya tersebut sementara menunggu respons daripadanya.

Bekas CEO itu mendakwa bahawa tauke tersebut kemudian menulis surat kepada Hajiji, yang kemudian memaklumkannya untuk membawa isu itu ke mesyuarat lembaga pengarah (BOD).

Katanya, sebagai CEO, dia bukan sebahagian daripada lembaga tetapi hanya hadir bagi mempersembahkan surat itu untuk kelulusan BOD.

Susulan keputusan itu, katanya, dia menulis surat kepada lima pemegang lesen penerokaan untuk berpindah, walaupun merasa keputusan itu tidak wajar.

Selain dua syarikat yang membelanjakan jutaan ringgit sebelum diarahkan berpindah, Enggihon mendakwa terdapat juga anak syarikat GLC Sabah yang terjejas.

Enggihon mendakwa Hajiji boleh dituduh tidak adil kerana hanya menjaga kepentingan seorang kontraktor.

Namun, Enggihon menafikan apabila ditanya sama ada kontraktor itu cuba merasuahnya tetapi memohon dia mempermudah urusan.

Terdahulu Hajiji berkata akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berhubung rakaman video itu, namun mahu "pemberi rasuah" ditangkap terlebih dulu.

"Itu pemberi rasuah ada niat tidak baik untuk dapatkan sesuatu daripada kerajaan, apabila tidak dapat, inilah keluar (rakaman),” katanya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS