Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu video Adun rasuah: NGO marah pemimpin kerajaan 'membisu'
Diterbitkan:  Nov 12, 2024 3:34 PM
Dikemaskini: 7:34 AM

Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center) membangkitkan isu kekurangan sokongan daripada pihak berkuasa dan pemimpin kerajaan berhubung dakwaan pemberi maklumat bahawa beberapa ahli politik terlibat dalam amalan rasuah.

“Kami berasa marah atas kekurangan sokongan kepada pemberi maklumat ini dan mendesak reformasi segera terhadap Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010,” kata pusat itu pada satu kenyataan hari ini.

Semalam, pemberi maklumat yang menjadi tumpuan skandal rasuah tersebut membuat laporan polis, mendakwa dia menerima ugutan bunuh.

Menurut laporan yang dibuat malam tadi, dia menerima panggilan WhatsApp dari nombor asing yang tidak dikenali.

Amaran terakhir

“Dalam panggilan selama 16 saat itu, seorang lelaki mengancam saya dalam bahasa Cina dan berkata dia dari ‘kumpulan pembunuh upahan’ serta diberi arahan untuk membunuh saya dalam tempoh 24 jam jika saya tidak berdiam diri. Dia kata ini amaran terakhir kepada saya.

“Penelefon itu juga menghantar gambar-gambar senjata api dan peluru serta foto seorang lelaki yang ditembak terbaring di jalan.

“Saya sangat takut. Saya bimbang akan keselamatan diri saya dan keluarga,” kata laporan itu, yang dilihat oleh Malaysiakini.

Pada 9 November, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata agensinya tidak dapat memberikan jaminan bertulis pemberi maklumat itu tidak akan disiasat atau didakwa.

Azam menegaskan undang-undang menyatakan pabila individu memberikan maklumat kepada pihak berkuasa, dia dilindungi oleh undang-undang tetapi perlindungan ini boleh dibatalkan jika didapati dia terbabit dalam kesalahan yang didedahkan.

Kata C4 Center kebimbangan pemberi maklumat ini berasas kerana Seksyen 11(1)(a) Akta Perlindungan Pemberi Maklumat mewajibkan pembatalan perlindungan jika agensi penguatkuasa merasakan pemberi maklumat terlibat dalam salah laku yang didedahkan.

“Ia bermaksud jika pemberi maklumat didapati terlibat dalam skandal tersebut atau bertindak untuk mengelak pemecatan atau tindakan disiplin, mereka hilang perlindungan.

“Aspek undang-undang ini telah banyak dikritik kerana mengehadkan skop perlindungan pemberi maklumat, kerana selalunya individu yang dekat dengan kes-kes tersebut yang mempunyai akses kepada bukti memberatkan,” kata NGO itu.

Imuniti SPRM

C4 Center juga menegur ahli parlimen yang berdiam diri mengenai isu ini walaupun dakwaan yang dibuat serius.

“Kami menghargai usaha Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng yang berjanji untuk berkongsi bukti dan nama yang terlibat di parlimen sekiranya pemberi maklumat menghubunginya.

“Namun, dia sebahagian kecil pihak yang mencari kebenaran di sebalik isu ini. C4 Center mengkritik sikap berdiam diri dari ahli-ahli parlimen dan Adun lain mengenai isu ini,” kata pusat itu.

Sehubungan itu, C4 Center mendesak SPRM untuk memberikan imuniti kepada pemberi maklumat seperti yang diminta.

NGO itu juga menyeru ahli parlimen untuk memberi sokongan kepada pemberi maklumat dan komited kepada reformasi untuk pemantauan terhadap pegawai yang dipilih, termasuk undang-undang pengisytiharan aset di peringkat persekutuan dan negeri.

“Kerajaan mesti meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat bagi memastikan perlindungan yang mencukupi diberikan kepada semua pemberi maklumat.

“Putrajaya juga mesti merombak SPRM dengan memindahkannya dari pengaruh langsung perdana menteri dan menempatkannya di bawah pemantauan parlimen.

“Reformasi lanjut mesti dilakukan mengenai proses pelantikan dan penyingkiran ketua pesuruhjaya.”

Segera bertindak

Seiring dengan pandangan C4 Center, NGO Aliran juga menyeru SPRM untuk memberikan perlindungan kepada pemberi maklumat terhadap kemungkinan campur tangan daripada anggota dewan negeri yang mempunyai pengaruh politik.

“Mereka yang mendedahkan rasuah dan sanggup tampil dengan bukti mesti digalakkan berbuat demikian, tanpa rasa takut terhadap tindak balas daripada pihak yang didakwa.

“Kecepatan tindakan SPRM dalam menjawab rayuan perlindungan pemberi maklumat akan menjadi ukuran komitmen kerajaan dalam memerangi rasuah dalam masyarakat.

“Tindakan segera akan memberikan mesej tegas bahawa pemimpin politik mesti meletakkan kepentingan rakyat di atas kepentingan mereka sendiri. Untuk tidak berbuat demikian akan menjadi pengkhianatan terhadap kepercayaan rakyat,” tambahnya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS