Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
40 peratus kumpulan B40 tak daftar kenderaan di JPJ

PARLIMEN | Kerajaan sukar untuk melaksanakan kaedah mengenakan levi mengikut pemilikan kenderaan dalam pelaksanaan penyasaran subsidi RON95 kerana 40 peratus daripada keluarga B60 tidak mendaftarkan kenderaan mereka dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata jika kaedah itu diguna pakai, kerajaan mungkin tidak akan mendapat angka yang tepat sehingga boleh berlaku keciciran.

"Hakikatnya, bagi keluarga terbawah (B40), mereka sebenarnya tidak ada pun pendaftaran kenderaan kerana ada keluarga yang mungkin menggunakan motosikal atas nama orang lain.

“Kita juga telah lalui perkara ini semasa pelaksanaan penyasaran diesel, yang mana orang yang menggunakan nama orang lain untuk kenderaan itu.

"Jadi, data itu menunjukkan ketidakpadanan yang besar akibat amalan yang berlainan di peringkat bawah, sama ada (kenderaan) orang sambung bayar, ibu bapa beli untuk orang lain atau guna nama orang lain," katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Rafizi menjawab soalan yang dibangkitkan Suhaizan Kaiat (PH- Pulai) yang menanyakan mengenai mekanisme penggunaan kad pengenalan bagi penyasaran subsidi RON95.

Suhaizan mencadangkan kerajaan menggunakan sistem bayaran levi seperti dicadangkan Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) sebelum ini.

Menjelaskan perkara itu, Rafizi berkata angka tersebut diperoleh melalui data Sistem Pangkalan Data Utama (PADU).

Oleh itu, tambah Rafizi, kerajaan menolak penggunaan sistem bayaran levi kerana khuatir ada pihak yang sepatutnya mendapat subsidi tetapi sebaliknya tercicir.

Mengulas lanjut Rafizi mengakui tiada sistem yang sempurna mampu dihasilkan dan setiap suatu sistem yang dilaksanakan, ia pasti berdepan dengan cabaran tersendiri.

“Maka, untuk kita menggunakan kaedah pendaftaran kenderaan itu, sebenarnya risiko keciciran adalah lebih besar,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS