Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengeluaran getah asli menguncup 13.9 peratus pada Sept
Diterbitkan:  Nov 12, 2024 2:06 PM
Dikemaskini: 6:06 AM

Pengeluaran getah asli Malaysia menguncup 13.9 peratus kepada 30,929 tan pada Sept tahun ini berbanding 35,908 tan pada Ogos, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Perbandingan antara tahun pula menunjukkan pengeluaran getah asli menurun sebanyak 5.6 peratus daripada 32,757 tan pada Sept 2023.

Ketua Perangkawan, Mohd Uzir Mahidin, berkata pengeluaran getah asli Malaysia pada Sept lalu disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil iaitu pada 85.9 peratus berbanding sektor estet (14.1 peratus).

"Jumlah stok getah asli pada Sept tahun ini menurun 1.6 peratus kepada 130,608 tan daripada 132,755 tan pada Ogos.

"Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 88.6 peratus, diikuti kilang pengguna getah sebanyak 11.2 peratus dan estet getah sebanyak 0.2 peratus,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Sementara itu, eksport getah asli berjumlah 39,915 tan pada Sept lalu, menurun 30.6 peratus daripada 57,482 tan pada bulan sebelumnya, disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub dan benang getah.

DOSM berkata China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli negara iaitu berjumlah 32.1 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Sept diikuti Emiriah Arab Bersatu (15.6 peratus), Jerman (11.7 peratus), AS (6.6 peratus) dan Portugal (5.3 peratus).

“Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM1.2 billion pada Sept, menurun 23.0 peratus berbanding RM1.6 bilion pada Ogos,” katanya.

Kata DOSM, Malaysia Rubber Board Digest keluaran Sept melaporkan, pasaran getah Kuala Lumpur menunjukkan aliran meningkat dengan harga SMR 20 turun naik dalam julat yang kecil.

“Sentimen positif dipacu oleh kebimbangan terhadap bekalan getah asli yang terhad kerana ramalan cuaca yang tidak menentu di negara pengeluar utama.

“Keyakinan global juga meningkat selepas pengurangan kadar faedah AS yang ketara dan langkah rangsangan China,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS