Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hajiji janjikan kerjasama, mahu 'pemberi rasuah' ditangkap dulu
Diterbitkan:  Nov 12, 2024 1:12 PM
Dikemaskini: Nov 15, 2024 10:25 AM

Nota editor: Laporan awal artikel ini tersilap memetik Hajiji sebagai mengakui namanya disebut dalam skandal pemberi maklumat. Laporan ini telah dipinda untuk mencerminkan kenyataan sebenar Hajiji selepas Malaysiakini memperoleh rakaman mengenai apa yang diberitahu kepada media. Kesilapan itu dikesali.

Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor berikrar untuk memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berhubung rakaman video Adun membincangkan rasuah, namun mahu individu yang dianggap "pemberi rasuah" ditangkap terlebih dulu.

Bercakap kepada media di Papar, Hajiji berkata, kerajaan negeri sedia maklum mengenai rakaman video itu dan sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kami minta pihak berkuasa untuk menyiasat. Kami akan beri kerjasama, tapi siasat juga (pihak) yang memberi rasuah.

"Itu pemberi rasuah ada niat tidak baik untuk dapatkan sesuatu daripada kerajaan, apabila tidak dapat, inilah keluar (rakaman audio).

"Jadi bagi saya, untuk lebih adil, tangkap dia dan siasat dia dulu," katanya.

Apabila wartawan menyebut bahawa nama Hajiji turut dikaitkan, Adun Sulaman dengan segera menjawab: "Saya tiada apa-apa (tidak ada kena mengena dengan saya)".

Dia juga menambah kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah tidak terjejas dengan dakwaan tersebut, dan pada masa sama tidak ada sesuatu untuk disembunyikan.

"Kerajaan masih berjalan dengan baik... ini hanya tuduhan. Laporlah ke SPRM," katanya.

Sabtu lalu, Malaysiakini melaporkan terdapat sekurang-kurang lapan rakaman video mengaitkan beberapa Adun yang didakwa sedang membincangkan 'rasuah' bernilai ratusan ribu ringgit yang diberikan kepada mereka sebagai balasan untuk mendapatkan projek di sebuah negeri.

Malaysiakini telah melihat lapan video itu dan tidak mendedahkan identiti ahli politik berkenaan mahupun negeri terbabit. Ini kerana pemberi maklumat itu sedang cuba mendapatkan perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 sebelum meneruskan lebih lanjut.

Semalam, pemberi maklumat yang membuat dakwaan itu melalui firma guaman Izwan Mazniza Kamil and Associates - menghantar surat kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim meminta campur tangannya berhubung permintaannya untuk perlindungan dan kekebalan undang-undang di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

Malam tadi, pemberi maklumat itu mendakwa dia menerima ugutan bunuh dan membuat laporan polis.

Katanya, dia menerima panggilan melalui aplikasi WhatsApp menggunakan nombor yang tidak dikenalinya.

Tambahnya, panggilan selama kira-kira 16 saat itu, diterima daripada seorang lelaki mengugut - dalam bahasa Cina - mendakwa dia daripada kumpulan pembunuh upahan yang diarahkan untuk membunuh individu terbabit dalam tempoh 24 jam jika gagal menutup mulut.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS