Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes dera UPNM: SOP ditambah baik, kadet terlibat boleh dihentikan
Diterbitkan:  Nov 12, 2024 12:30 PM
Dikemaskini: 9:32 AM

Kementerian Pertahanan sedang mengambil langkah-langkah tambahan untuk mencegah insiden penderaan dan buli di kalangan kadet di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), kata menterinya, Mohamed Khaled Nordin.

Ini, katanya, termasuk mengasingkan tempat tinggal dengan membezakan bilik serta aras bilik penginapan dan melakukan roll call secara berasingan mengikut tahun pengajian kadet.

“Langkah ini kita telah lakukan sejak awal Januari dan Oktober lepas, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) akan ditambah di blok penginapan dan kawasan-kawasan lain yang dirasakan perlu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Integriti Nasional 2024 Peringkat Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur.

Khaled juga menegaskan bahawa kementerian tidak akan bertolak ansur dengan tingkah laku kekerasan di kalangan kadet dan memberi amaran kepada pelajar yang terbabit bahawa mereka boleh dihentikan dan perlu membayar balik biasiswa mereka.

"Kementerian tidak akan kompromi dalam perkara ini dan mengambil tindakan tegas termasuk memberhentikannya daripada menjadi kadet.

"Kita juga akan menuntut balik bayaran tanggungan yang kita telah berikan sepanjang individu itu menjalani latihan sebagai kadet di ALK-UPNM," katanya.

Turut hadir Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Lokman Hakim Ali.

Khaled berkata demikian ketika ditanya berhubung tindakan yang diambil oleh kementerian berkenaan bagi mengekang kes buli di ALK.

Dalam pada itu, Khaled berkata pihaknya mengamalkan keterbukaan membabitkan kegiatan buli dan akan bekerjasama dengan pihak polis dalam siasatan membabitkan sebarang perlakuan berkenaan.

"Kita (Kementerian Pertahanan) akan bekerjasama dengan semua pihak, ia kerana kita mempunyai hukuman yang terbatas, paling maksimum ialah untuk memecat daripada menjadi kadet," katanya.

Pada 8 Nov, pegawai kadet Amirul Iskandar Norhanizan, 22, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan mencederakan juniornya menggunakan seterika wap panas, 22 Okt lepas.

Dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Muhammad Salman Mohd Saiful Surash, 20, dengan menggunakan seterika berkenaan di akademi itu di UPNM, Kem Sungai Besi, Cheras di sini pada 11.45 malam.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Khaled sebagai berkata, tiada keperluan untuk merombak pentadbiran Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) susulan beberapa kes buli yang dilaporkan sejak kebelakangan ini.

Beliau berkata pihaknya akan menyiasat apa yang berlaku di ALK sebelum ke fasa tindakan seterusnya.

“Buat masa ini kita akan tengok semua hasil siasatan seperti kelemahan dan sebagainya dahulu,” katanya.

Beliau berkata tidak wajar melontarkan pelbagai gelaran yang boleh merosakkan imej UPNM susulan kejadian buli yang dilaporkan, kerana UPNM bukanlah universiti yang hanya menampung keperluan Kementerian Pertahanan.

"Sememangnya UPNM memberikan tempat kepada kadet-kadet tajaan Mindef (Kementerian Pertahanan), namun ia juga mempunyai pelajar-pelajar daripada pihak awam.

“Kalau kita lihat jumlah pelajar UPNM yang berdaftar pada masa ini ada 4,200 dan daripada jumlah itu, ada 957 kadet. Ini menunjukkan kadet hanya satu per empat daripada jumlah pelajar dalam UPNM,” katanya.

Mohamed Khaled berkata jika kejadian berlaku semasa sesi pembelajaran di UPNM, maka ia menjadi tanggungjawab universiti tetapi bagi kejadian yang berlaku dalam latihan ketenteraan atau di asrama ALK, tidak wajar untuk melabel UPNM dengan pelbagai nama.

“Kadet ini ditaja Mindef, setiap tahun akan diambil dalam 300 kadet menjadi keseluruhan ALK ada dalam 1,000 dan mereka ini ditempatkan di (ALK). Mereka tidak diletakkan sama dengan asrama pelajar lain ini (UPNM), dan semua berlaku di ALK bukannya di UPNM. Ini (dakwaan kejadian buli) berlaku di ALK di bawah Mindef,” katanya.

Ahad lepas, polis mengesahkan sedang menyiasat kejadian yang membabitkan seorang penuntut UPNM berusia 19 tahun yang disyaki dipijak sehingga cedera parah di rusuk dan belakang badan oleh seorang penuntut senior tahun tiga universiti berkenaan.

Bulan lepas, satu insiden lain pula melibatkan kes buli di universiti yang sama, dengan seorang pegawai kadet ALK UPNM telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan mencederakan pelajar junior menggunakan seterika wap panas.

Sebelum ini negara digemparkan dengan kematian tragis pegawai kadet laut UPNM, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain akibat dibuli, dipukul dan diseksa apabila hampir keseluruhan anggota badannya berulang kali ditekap menggunakan seterika wap.

Susulan kes yang berlaku pada 2017 itu, enam bekas penuntut UPNM dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan pada 23 Julai lepas setelah didapati bersalah melakukan perbuatan berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS