Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Perbuatan buli, seksa tindakan tak berperikemanusiaan'
Diterbitkan:  Nov 12, 2024 11:13 AM
Dikemaskini: 3:13 AM

Yang di-Pertuan Agong menitahkan agar Kementerian Pertahanan mengambil serius isu buli yang sekali lagi dilaporkan berlaku di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Menurut Sultan Ibrahim budaya buli tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana ia bukan saja menjejaskan kesejahteraan pelajar malah mencemar reputasi institusi pengajian tinggi di negara ini.

Titah baginda, kes buli di Akademi Latihan Ketenteraan UPNM itu bukanlah yang pertama dilaporkan.

Malah sebelum ini, titah Sultan Ibrahim, ada nyawa yang melayang.

Tambah baginda, memang dapat difahami untuk menyediakan seseorang anggota tentera, latihan yang keras diperlukan dan lazim namun ia bertujuan membina kekentalan mental dan jiwa yang kuat.

“Namun ini bukan bermakna ke tahap buli atau menyeksa seseorang itu sehingga mendatangkan kecederaan fizikal atau meragut nyawa.

"Ini tindakan tidak berperikemanusiaan.

“Saya mahu Kementerian Pertahanan mengambil serius perkara ini kerana kes buli sudah beberapa kali berlaku di Akademi Latihan Ketenteraan UPNM,” titah baginda.

Kelmarin Malaysiakini melaporkan seorang kadet UPNM mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang dalam satu lagi kes buli di universiti itu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Rusdi Mohed Isa, berkata kejadian berlaku pada 21 Okt lalu namun ia hanya dilaporkan kepada pihak berkuasa pada 8 Nov.

Kata Rusdi, mangsa berusia 19 tahun itu dipijak oleh kadet tahun tiga.

Seminggu kemudian satu lagi kes buli dilaporkan apabila seorang kadet berusia 20 tahun ditekap dadanya dengan seterika panas sehingga melecur.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS