Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
RON95: K'jaan pilih kad pengenalan berbanding bantuan tunai

PARLIMEN | Kerajaan hari ini mengesahkan kad pengenalan akan menjadi kaedah pilihan bagi pelaksanaan penyasaran subsidi RON95.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata melalui mekanisme dua harga bagi bahan bakar itu, ia akan berkesan mengawal peningkatan kadar inflasi apabila penyasaran subsidi dilaksanakan.

Meskipun pakar ekonomi berpendapat kaedah bayaran balik secara tunai lebih berkesan, Rafizi menjelaskan, kerajaan memilih menggunakan kad pengenalan kerana ia lebih berkesan menghadapi inflasi dan tidak membawa kepada kenaikan harga barangan.

Katanya, pengapungan harga minyak RON97 dan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) oleh kerajaan sebelum ini membuktikan inflasi menjadi tidak terkawal dan keadaan itu akhirnya membawa kepada kenaikan harga barang.

"Secara umumnya ahli ekonomi kata bayaran (balik secara) tunai lebih baik, tapi kerajaan melihat kenaikan harga barangan itu sebelum inflasi.

"Keutamaan kerajaan adalah mengawal inflasi," katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, pagi ini.

Rafizi berkata demikian sebagai menjawab pertanya yang dibangkitkan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) yang meminta penjelasan mengenai mekanisme penggunaan kad pengenalan untuk kelayakan mendapat subsidi RON95.

Suhaizan berpendapat penggunaan kad pengenalan terdedah kepada masalah seperti kerosakan cip, capaian internet perlahan di kawasan luar bandar, penipuan, tambahan kos dan melambatkan proses pembelian minyak.

Suhaizan Kaiat

Mengulas lanjut Rafizi berkata, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan sedang memperhalusi mekanisme terperinci menggunakan prinsip yang dihuraikannya.

"Kriteria dan mekanisme akhir akan dibentangkan kepada jemaah menteri selaras dengan garis masa pelaksanaan iaitu menjelang pertengahan 2025.

"Dalam hubungan ini, kerajaan mengambil maklum akan pelbagai cabaran yang bakal dihadapi sekiranya mekanisme kad pengenalan digunakan untuk pengesahan kelayakan," katanya.

Sementara itu, Abdul Latif Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) dalam soalan tambahan membangkitkan sama ada pelaksanaan kaedah itu telah diuji terlebih dulu ataupun sekadar umum dan kaji kemudian.

Menjawabnya, Rafizi berkata, projek rintis telah dilaksana sejak 2022 melalui e-dompet termasuk kaedah pengesahan kad pengenalan.

"Yang kata umum dulu tak kaji adalah (amalan) pembangkang.

"Semasa pembentangan Kajian Separuh Penggal 2023 di dewan ini, penyasaran subsidi telah diletakkan sebagai asas utama reformasi.

"...kecuali pembangkang tak baca, tak timbul umum dulu baru buat, 20 bulan projek rintis dilaksanakan," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS