Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rasuah Adun: Dalam politik ada ramai musuh, kata Yusof
Diterbitkan:  Nov 12, 2024 10:22 AM
Dikemaskini: 2:22 AM

Seorang Adun Sabah berkata, ahli politik memang berdepan dengan banyak musuh yang beragam serta bersedia bertindak sesuatu untuk menjatuhkan seseorang dengan pelbagai cara.

Kata Adun Sindumin, Yusof Yacob, ahli politik perlu berhati-hati dalam tindakan khusunya ketika Sabah berdepan dengan pilihan raya negeri (PRN) yang perlu diadakan selewat-lewatnya Okt tahun depan.

Dipetik portal Sinar Online, Yusof berkata, ketika kerajaan negeri berada dalam keadaan "kuat" justeru ada pihak yang dianggap musuh mahu menggugatnya.

"Yalah.. biasalah, kiranya kita kuat, kita stabil, macam-macam caralah orang buat begitu, musuh-musuh kita ni.

"Dalam politik ini banyak musuh… kita tidak tahu siapa," katanya.

Bekas pengerusi Bank Rakyat itu juga percaya ada pihak yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk menjana suara ahli politik tertentu.

Ia kemudian dikaitkan dengan perbincangan terkait rasuah - yang dirakam dalam sekurang-kurangnya lapan video - seperti didedahkan oleh Malaysiakini baru-baru ini.

Bagaimanapun tiada sebarang pengesahan untuk mengaitkkan Yusof dengan rakaman tersebut.

Menyerahkan kepada agensi penguat kuasa untuk menyiasat, Yusof berkata, dia tidak bercadang untuk membuat sebarang kenyataan berhubung isu tersebut sekarang.

"Biarlah mereka viral, sekarang ada AI ini (jadi) masalah. Tidak payah (nafi), cakap saja biar SPRM yang siasat kalau ada kes.

"Kita jawab banyak, lagi banyak nanti (timbul)... Sekarang ini boleh macam-macam AI," katanya.

Yusof yang pernah menjadi timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat itu menambah, dia sedia memberi kerjasama kepada pegawai SPRM jika ada pihak yang mempunyai bukti mengenainya.

Bahkan dia juga menegaskan tidak terlibat dengan kegiatan tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS