Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KWSP catat pendapatan pelaburan RM19.67 bilion pada suku ketiga tahun ini

Pendapatan pelaburan KWSP meningkat RM5 bilion kepada RM19.67 bilion pada suku ketiga 2024, daripada RM14.67 bilion pada suku ketiga 2023.

CEO KWSP Ahmad Zulqarnain Onn berkata ini menjadikan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM57.57 bilion bagi Januari hingga September 2024, meningkat 20 peratus berbanding RM47.86 bilion dalam tempoh sama pada 2023.

“Prestasi kukuh KWSP adalah bukti kepada strategi pelaburannya yang merangkumi portfolio yang pelbagai merentasi kelas aset utama,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Menurutnya, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia meningkat dengan kukuh sebanyak 5.9 peratus tahun ke tahun pada suku kedua 2024.

“Pengurangan kadar faedah di Amerika Syarikat (AS) yang dinantikan telah mendorong sentimen pasaran dan keuntungan merentasi pelbagai sektor, termasuk amanah pelaburan hartanah, utiliti dan kewangan, yang semuanya memberi kesan positif kepada portfolio pelaburan KWSP.

“Bagaimanapun, risiko kekal dalam prospek global seperti trajektori dan kadar pengurangan kadar faedah, ketegangan geopolitik yang berterusan dan semakin meningkat terutama di Timur Tengah, serta potensi tarif import yang lebih tinggi ke AS dengan pemilihan Donald Trump minggu lepas,” kata  Ahmad Zulqarnain.

Dia berkata pendapatan daripada pelaburan ekuiti terus menjadi penyumbang besar kepada pendapatan suku ketiga 2024, menjana sebanyak RM18.32 bilion berbanding RM9.17 bilion dalam suku ketiga 2023.

Sementara itu, instrumen pendapatan tetap menyediakan aliran pendapatan stabil dan mengurangkan impak ketidaktentuan pasaran jangka pendek - dengan kelas aset ini, merangkumi Sekuriti kerajaan Malaysia dan bon sama taraf, serta pinjaman dan bon, menyumbang 33 peratus atau RM6.51 bilion kepada jumlah pendapatan pelaburan KWSP bagi suku ketiga 2024.

Hartanah dan infrastruktur pula mencatatkan keuntungan sebanyak RM820 juta dalam suku ketiga 2024 berdasarkan kadar mata wang tetap.

“Memandangkan majoriti pelaburan dalam hartanah dan infrastruktur serta instrumen pasaran wang didenominasikan dalam mata wang selain ringgit, dan dengan pengukuhan ringgit baru-baru ini berbanding dolar AS pada suku ketiga 2024, kelas aset ini masing-masing mengalami kerugian RM3.71 bilion dan RM1.45 bilion selepas penukaran mata wang asing,” katanya.

Bagaimanapun kedudukan ini bersifat sementara, mencerminkan pergerakan mata wang semasa.

Selain itu, pelaburan KWSP dalam hartanah dan infrastruktur adalah untuk jangka masa panjang, dengan pergerakan mata wang mempunyai impak yang lebih kecil terhadap pulangan sebenar keseluruhan.

Setakat September 2024, jumlah aset pelaburan KWSP berjumlah RM1.22 trilion dengan 62.2 peratus dan 37.8 peratus diperuntukkan kepada pelaburan dalam dan luar negara.

“Dalam suku ketiga 2024, pelaburan luar negara menyumbang RM10.50 bilion, merangkumi 53 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan.

“Daripada jumlah pendapatan pelaburan, RM48.02 bilion dijana untuk simpanan konvensional manakala RM9.55 bilion untuk Simpanan Syariah,” kata KWSP.

Pasaran buruh Malaysia pula menunjukkan prestasi yang kukuh, dengan peningkatan pekerjaan sebanyak 1.9 peratus tahun ke tahun dan kadar pengangguran kekal rendah pada 3.2 peratus.

Selain itu, kadar penyertaan tenaga kerja kekal stabil pada 70.5 peratus.

Persekitaran pasaran buruh yang positif ini telah menyumbang kepada peningkatan keahlian baru KWSP sebanyak 364,364, menjadikan jumlah keahlian setakat September 2024 kepada 16.1 juta. 

Jumlah ahli aktif berjumlah 8.69 juta mewakili 50.4 peratus daripada 17.24 juta tenaga kerja Malaysia.

Selain itu, pendaftaran majikan baru yang dicatatkan dalam tempoh tersebut ialah 55,717, menjadikan jumlah majikan aktif berdaftar dengan KWSP kepada 612,889.

Jumlah sumbangan yang diterima meningkat daripada RM23.1 bilion pada suku ketiga 2023 kepada RM25.2 bilion pada suku ketiga 2024, katanya.

Sepanjang separuh pertama 2024, jumlah sumbangan i-Saraan meningkat 103 peratus kepada RM1.61 bilion daripada RM789.3 juta dan peningkatan 56 peratus kepada 30,196 daripada 211,361 ahli dalam tempoh sembilan bulan 2023.

Dalam sembilan bulan pertama 2024, KWSP mencatatkan pertumbuhan 29 peratus dalam bilangan pencarum sukarela kepada 938,695 daripada 730,066 pada sembilan bulan pertama 2023.

Jumlah caruman sukarela sebanyak RM10.37 bilion, peningkatan 72 peratus daripada RM6.03 bilion pada sembilan bulan pertama 2023.

Sementara itu, bilangan ahli sektor formal yang memilih untuk mencarum melebihi kadar berkanun adalah 65,695 dalam sembilan bulan pertama 2024 berbanding 55,946 dalam sembilan bulan pertama 2023.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS