Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri bangkitkan harga beras RM2.60 sekilo terlalu rendah

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu hari ini membangkitkan isu mengenai harga beras tempatan pada masa ini yang dilihat terlalu rendah.

Menurut Mohamad, berdasarkan pandangan pemain industri, cabaran utama yang menyebabkan kekurangan bekalan beras putih tempatan di pasaran adalah harga kawalan yang tidak kompetitif.

"Sejak tahun 2008, harga siling beras putih tempatan telah ditetapkan RM2.60 sekilogram bagi memastikan rakyat mendapat beras pada harga yang berpatutan.

"Pada waktu itu, harga satu tan lebih kurang RM900. Sekarang yang ditetapkan RM1,300. Apakah nak kekal RM2.60?" soalnya.

Selain itu, Mohamad berkata kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menyelaraskan harga padi di seluruh negara.

Katanya, ia dilakukan walaupun perbezaan harga antara negeri adalah keputusan perniagaan berdasarkan dinamik pasaran setempat

"Satu kajian terperinci mengenai penyelarasan harga baru dimuktamadkan dalam masa terdekat. Kajian ini bertujuan memastikan kestabilan harga padi di semua kawasan dan membantu meningkatkan pendapatan pesawah secara adil," katanya.

Mohamad juga berkata pada masa ini penguatkuasaan dari sudut pemantauan bekalan beras tempatan masih tidak mencukupi.

"Penguatkuasaan mesti dipertingkatkan dari masa ke semasa," tambahnya.

Sementara itu, Mohamad berkata Pasir Puteh di Kelantan telah berjaya meningkatkan hasil padi daripada tiga tan kepada 10 tan sehektar.

"Kalau buat cara begitu di seluruh Malaysia, tujuh tan per hentar, beras dah cukup di Malaysia ni," katanya.

Pada Sabtu lalu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak lama lagi akan mendedahkan kartel beras dan padi yang telah memonopoli barangan makanan itu.

Fuziah berkata Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah menyiapkan laporan mengenai perkara itu tetapi tidak dapat mendedahkannya buat masa ini.

Pada September lalu, Anwar mengumumkan bahawa kerajaan sedang merancang beberapa projek pertanian mega berjumlah RM5 bilion.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS