Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis didakwa bunuh pelajar: Mangsa digilis antara perut dan dada - saksi

Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini diberitahu bahawa Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, telah digilis di bahagian antara perut dan dada dalam kejadian pelanggaran di Jalan Taman Jati 1, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati pada 15 Dis tahun lepas.

Kenyataan itu diberitahu oleh seorang saksi kanak-kanak yang melihat insiden itu, sewaktu dia dan beberapa rakannya berada berhampiran dengan lokasi pelanggaran antara sebuah kereta jenis Perodua Ativa dan motosikal jenis Yamaha LC.

Saksi yang ke-10 itu berkata dia melihat mangsa tercampak ke belakang dan terjatuh ke atas jalan selepas dilanggar oleh kereta Ativa berkenaan.

Menurut saksi itu, dia melihat tayar hadapan serta belakang sebelah kanan kereta Ativa telah menggilis bahagian antara perut dengan dada Muhammad Zaharif Affendi, serta kedudukan mangsa semasa digilis adalah bahagian kepala berada di bawah kereta.

“Setelah melihat kejadian itu, saya terus pergi ke arah Zaharif untuk memberi bantuan bersama rakan-rakan lain dan ketika saya berada berdekatan dengan Zaharif, tidak lama kemudian, seorang lelaki yang turun daripada kereta Ativa itu pergi berdekatan kami.

“... Dan (lelaki itu) mengatakan dalam nada marah ‘wei-wei angkat-angkat, kena bawa budak ni pergi ke balai’, dan saya telah membalas kepada lelaki Melayu itu dengan mengatakan ‘Jangan angkat. Baru lepas accident tak boleh angkat, risau tulang dia lari’,” katanya.

Saksi merupakan kanak-kanak pertama yang memberi keterangan itu berkata sebelum pelanggaran berlaku, Muhammad Zaharif Affendi sedang rem motosikalnya beberapa kali dengan kuat dan pada waktu itu sebuah kereta Ativa berhenti bersebelahan dengan motosikal mangsa, kemudian saksi terbabit nampak mangsa meninggalkan kereta berkenaan.

Menurut saksi terbabit, tumpuan kembali kepada Muhammad Zaharif Affendi selepas melihat ke arah kawasan masjid dan ternampak motosikal mangsa serta sebuah kereta Ativa mengekorinya, kemudian saksi juga mendengar bunyi eksos kuat daripada motosikal mangsa.

“Apabila saya nampak Zaharif dan kereta Ativa melepasi bonggol jalan yang terletak di kawasan masjid tersebut, mereka berdua memecut laju. Apabila sampai sebelum kawasan simpang, Zaharif memperlahankan motosikalnya dan saya nampak lampu brek belakang menyala.

“Seterusnya saya nampak kereta Ativa melanggar Zaharif dari arah belakang. Kereta Ativa tidak berhenti sebelum perlanggaran,” katanya sewaktu membaca pernyataan bertulis di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet hari ini.

Saksi ke-10 itu juga berkata dia telah melihat Muhammad Zaharif Affendi dalam keadaan separuh sedar dan tidak bermaya dibawa ke tepi oleh beberapa orang yang tidak dikenali, kerana ramai orang berada di sana.

“Ketika itulah saya melihat kereta Ativa itu telah bergerak ke arah berdekatan dengan Zaharif dan lelaki itu telah membuka pintu belakang keretanya untuk membawa Zaharif pergi ke balai.

“Namun, orang yang berada di situ menghalang lelaki tersebut daripada melakukannya kerana risau lelaki itu mengatakan mahu membawa Zaharif ke balai dan bukannya hospital,” katanya

Menurut saksi itu, selepas dihalang oleh orang ramai lelaki terbabit telah menutup pintu keretanya dan kembali melihat keadaan Muhammad Zaharif Affendi sehinggalah kakak serta bapa mangsa tiba, sebelum lelaki itu beredar.

Selain itu, mahkamah turut memanggil Pengarah Jabatan Kejuruteraan Majlis Bandaraya Ipoh Ridza’uddin Mohd Radzi sebagai saksi bagi mengesahkan berhubung jalan dan papan tanda yang berada di sekitar lokasi kejadian.

Ridza’uddin berkata terdapat dua bonggol, empat papan tanda peringatan bonggol serta memaklumkan bahawa kelajuan di sekitar kawasan berkenaan adalah antara 30 hingga 40 kilometer per jam.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Afzainizam Abdul Aziz, Nasrul Hadi Abdul Ghani, V Suloshani dan Low Qin Hui, manakala tertuduh diwakili peguam M Athimulan, Mior Faridalathrash Wahid dan Aiman Hakim Kamaruzzaman.

Ketika pemeriksaan balas, Athimulan memohon kebenaran mahkamah untuk pihak pembelaan diizinkan pergi ke lokasi kejadian sebelum memulakan prosiding pemeriksaan balas.

Hakim kemudiannya menangguhkan prosiding dan perbicaraan bersambung esok.

Mohd Nazri Abdul Razak, 45, didakwa membunuh Muhammad Zaharif Affendi di Jalan Taman Jati 1 berhampiran SMK Jati di sini antara 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari pada 15 Dis 2023.

Pegawai kanan polis berpangkat DSP itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun dan minimum sebatan 12 kali, jika sabit kesalahan.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS