Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS gesa SPRM siasat segera dakwaan rasuah 8 Adun
Diterbitkan:  Nov 11, 2024 8:42 PM
Dikemaskini: 12:42 PM

PAS menggesa SPRM untuk menyiasat dengan segera dakwaan seorang pemberi maklumat berkenaan skandal rasuah melibatkan lapan Adun.

Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari berkata SPRM tidak perlu menunggu laporan rasmi dibuat sebelum mengmabil tindakan.

“PAS menegaskan SPRM mempunyai tanggungjawab moral dan undang-undang untuk bertindak dengan segera terhadap dakwaan ini, meskipun tiada aduan rasmi yang dibuat.

“SPRM tidak wajar hanya menunggu aduan secara rasmi untuk bertindak, sebaliknya harus memulakan siasatan berasaskan maklumat awal yang telah diketahui umum,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada minggu lalu, Malaysiakini melaporkan berkenaan lapan rakaman video yang didakwa memamparkan Adun membincangkan rasuah berjumlah ratusan ribu ringgit yang diterima mereka untuk menyokong projek di negeri berkenaan.

Dalam rakaman itu, seorang ahli perniagaan didengar berbincang mengenai pemulangan wang rasuah itu memandangkan projek itu telah dibatalkan.

Pemberi maklumat tersebut menuntut perlindungan diberikan kepadanya namun Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki menegaskan ia hanya boleh dibuat selepas dia membuat laporan secara rasmi.

Sementara itu, Fadhli menggesa semua pihak agar tidak membuat spekulasi tidak berasas sehingga siasatan selesai.

“PAS juga menegaskan setiap individu yang terlibat dalam perbuatan tidak bermoral ini, sekiranya terbukti bersalah, harus dikenakan tindakan undang-undang yang sewajarnya tanpa mengira latar belakang atau kedudukan mereka,” katanya lagi.

Kenyataan itu dibuat sejam selepas Malaysiakini menyiarkan sedutan rakaman kedua berdurasi 17 saat, di mana seorang ahli politik dikatakan berbincang dengan ahli perniagaan itu jika dia boleh memulangkan semula wang tersebut secara berperingkat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS