PARLIMEN | Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir berharap isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) tidak dipolitikkan untuk meraih sokongan politik.
Zambry juga mengesyorkan supaya kajian menyeluruh dibuat berkenaan UEC dan bukannya dibangkitkan secara bermusim.
"Isu berterusan sebegini tidak seharusnya dimain dengan keterlaluan atas-atas faktor tertentu. Kita harus melihat lebih mendalam.
"Kita juga perlu melihat sijil-sijil lain yang menjadi halangan kepada pelajar kita untuk memasuki institusi-institusi pengajian tinggi.
"Oleh yang demikian, saya mengesyorkan supaya kajian menyeluruh perlu dibuat dari segi konteks, kandungan, kurikulum yang ada. Saya harap isu-isu sebegini tidak dibincangkan mengikut musim-musim tertentu bagi menagih sokongan dan dukungan," katanya.
Zambry berkata demikian ketika menjawab soalan yang dibangkitkan Salamiah Mohd Nor (PN- Temerloh) berhubung isu pengiktirafan UEC.
Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai) pula mempersoal kenapa UEC tidak diiktiraf oleh kerajaan sedangkan ia diterima oleh universiti antarabangsa.
Kerajaan Sarawak juga turut mengiktiraf UEC sebagai syarat untuk berkhidmat dengan perkhidmatan awam dan pusat pengajian tinggi awam negeri Universiti Malaysia Sarawak.
Pada 20 Julai 2020, pasukan petugas yang mengkaji dasar UEC dilaporkan sedang menunggu masa yang sesuai untuk mengemukakan laporan akhir kepada Kementerian Pendidikan.
Bagaimanapun pada Mac 2023, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek kerajaan tidak pernah menerima sebarang laporan daripada pasukan petugas itu.
Sementara itu, menjawab pertanyaan Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh), Zambry berkata sehingga kini UEC hanya diiktiraf untuk kemasukan ke institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).
"Berdasarkan pekeliling ketua pendaftar IPTS, Kementerian Pendidikan bilangan dua 2004, kelulusan UEC boleh digunakan untuk kemasukan ke IPTS sahaja," katanya lagi.