Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rasuah Adun: Klip audio 'RM500k sahaja' dimainkan untuk pegawai SPRM
Diterbitkan:  Nov 11, 2024 5:22 PM
Dikemaskini: 3:58 PM

Pemberi maklumat yang baru-baru ini mendakwa ada memiliki bukti video berhubung skandal rasuah melibatkan lapan Adun berkongsi satu rakaman audio kepada Malaysiakini di mana seorang ahli politik dikatakan membincangkan rasuah yang diterimanya untuk menyokong projek di negeri berkenaan.

Klip itu yang dikongsi kepada Malaysiakini dipercayai diekstrak daripada salah satu daripada lapan video yang ingin diserahkan pemberi maklumat kepada SPRM.

Rakaman selama 17 saat itu merupakan klip audio yang menurut ketua pesuruhjaya SPRM Azam Baki dimainkan semasa pertemuan antara peguam pemberi maklumat dan pegawai suruhanjaya itu pada 30 Okt.

Difahamkan, ia adalah dakwaan rakaman perbincangan seorang Adun dengan seorang ahli perniagaan berhubung syarat memulangkan "RM500,000" yang diterimanya sebagai balasan menyokong projek di negeri itu.

Ahli politik yang didakwa itu mengatakan dia akan memulangkan jumlah itu secara berperingkat memandangkan lesen untuk projek itu telah dibatalkan.

Dua suara boleh didengari dalam klip itu, dengan salah satu, iaitu ahli perniagaan berkenaan, diubah secara digital untuk menyembunyikan identitinya.

"You bagi saya pun berfasa juga (Awak bagi secara ansuran juga). (RM) 200, (RM)200 dan (RM)150," kedengaran orang pertama yang dipercayai Adun tersebut.

Ahli perniagaan itu kedengaran membetulkan angka itu, dengan menyatakan: “(RM)200,000, (RM)200,000, (RM)100,000. (RM) 500,000 sahaja (sahaja), (RM) 500,000 sahaja (sahaja).”

Kemudian Adun itu didengar membalas: "Pasal itu duit saya sudah pakai untuk saya ada bahagian meeting hari itu, saya buat besarlah”.

Pemberi maklumat berkenaan enggan menamakan ahli politik itu tetapi mendedahkan bahawa tempoh video itu lebih panjang.

Dalam lapan video itu, yang telah dilihat Malaysiakini, memaparkan Adun yang berbeza dalam setiap satu, yang dikatakan membincangkan rasuah yang diterima berkaitan projek yang sama.

Pemberi maklumat minta perlindungan

Pada Sabtu lalu, Azam Baki mengesahkan seorang pemberi maklumat berkenaan kes klip video beberapa Adun membincangkan rasuah telah berjumpa pegawai suruhanjaya itu pada 30 Oktober lalu.

Malaysiakini hari ini melaporkan pemberi maklumat itu telah menghantar surat rasmi kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim untuk meminta diberi perlindungan sebelum membuat laporan SPRM.

Surat itu, yang salinannya diserahkan kepada Malaysiakini, mendakwa selain lapan Adun itu, "pemimpin tertinggi" negeri berkenaan juga terlibat dalam skandal berkenaan.

"Anak guam kami mempunyai bukti kukuh, termasuk tangkapan skrin perbualan WhatsApp dengan YB (Adun) terbabit, dokumen dan klip video HD (definisi tinggi) yang mana YB mengaku menerima rasuah.

"Untuk makluman, anak guam kami bersedia menjadi pengadu dalam kes ini, menyerahkan bukti dan menjadi saksi SPRM," baca surat itu.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS