story images
story images

Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul berjanji akan membuat keputusan berhubung pertikaian mengenai kos pembangunan dan pelaksanaan sistem Pangkalan Data Utama (Padu) membabitkan menteri ekonomi, Rafizi Ramli dan Wee Ka Siong (Bn-Ayer Hitam).

Ini selepas Chong Szemin (Ph-Kampar) membangkitkan peraturan mesyuarat dengan mengatakan Wee telah mengelirukan dewan mengenai kos berkenaan.

Johari memberitahu Chong bahawa Wee telah menulis secara rasmi kepadanya untuk meminta Rafizi menarik balik kenyataan yang mendakwa presiden MCA itu telah berbohong.

"Sementara (Ahli Parlimen) Ka(m)par mempunyai hak untuk bangkitkan peraturan mesyuarat, saya juga mempunyai hak untuk menjawab soalan-soalan yang dikemukakan, dan hak saya itu mengatasi hak Ka(m)par.

"Saya nak maklumkan (Ahli Parlimen) Ayer Hitam telah pun menulis kepada saya. Dan saya sedang buat investigation. Saya juga telah menulis kepada menteri. Berikan masa pada saya sedikit, dua tiga hari, untuk saya menilai siapakah yang betul, siapa yang tidak,” kata Johari.

Pada 6 Nov lalu, Rafizi ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 peringkat Kementerian Ekonomi di Dewan Rakyat, menafikan dakwaan Wee bahawa kos pembangunan Padu berjumlah RM85 juta.

Sebaliknya, Rafizi berkata perbelanjaan setakat September 2024 menunjukkan kos pembangunan dan pelaksanaan Padu RM31 juta dengan beberapa pecahan.

Wee bagaimanapun berkata data dan laporan yang diperolehinya berhubung kos peruntukan Padu tidak hanya melalui media rasmi kerajaan malahan portal rasmi PKR, Suara Keadilan.

Sementara itu, Johari berkata keputusan mengenai perkara itu hanya akan dibuat sementara menunggu jawapan Rafizi.

"Ayer Hitam telah pun menulis pada saya. Soal Kampar ada maklumat atau sebagainya itu cerita lain.

“Ceritanya ialah Ayer Hitam telahpun menulis kepada saya, adalah menjadi tanggungjawab menteri untuk menjawab kepada saya. Dari situ saya akan buat pertimbangan dan keputusan. Untuk itu Ka(m)par bersabar ya. Saya akan maklumkan kemudian," katanya.

Pada ketika ini, Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) bangkit mencelah untuk memperbetulkan sebutan Johari yang merujuk Chong sebagai ahli parlimen Kapar dan bukannya Kampar.

"Saya rasa Tan Sri terkhilaf, Kampar kut bukan Kapar. Kampar belah sini (kerajaan), Kapar belah sini (pembangkang)," kata Afnan Hamidi.

Ini menyebabkan Johari berkata: "Minta maaf. Orang Kedah ni dia problem sikit. Maksud saya Kampar. Terima kasih Alor Setar".

Sementara itu, Chong pada sidang media kemudiannya berkata dia akan mengemukakan usulnya terhadap Wee secara bertulis, dan menggesa Johari untuk turut menyemak perkara itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS