Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Mahkamah Majistret Selayang melepas dan membebaskan inspektor polis Sheila Sharon Steven Kumar atas dakwaan mengaibkan seorang peguam.

Mahkamah jenayah hari ini membuat keputusan itu apabila mangsa yang didakwa P Taneswaran tidak mahu meneruskan kes terhadap tertuduh.

Peguam Sheila M Manoharan petang tadi mengesahkan Taneswaran menjadi saksi pada hari pertama perbicaraan yang ditetapkan hari ini dan mendedahkan saksi itu tidak mahu meneruskan perbicaraan.

Peguam itu mendakwa Taneswaran mendedahkan dia tidak membuat sebarang laporan polis terhadap Sheila dan hairan mengapa dia dijadikan saksi dalam kes itu.

Manoharan berkata, pasukan pendakwaan kemudian memohon supaya tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA).

“Saya membantah dan meminta pembebasan kerana dia (Taneswaran tidak mahu meneruskan) dan tiada lagi prospek pertuduhan atau tertuduh didakwa semula, justeru dia harus dilepaskan dan dibebaskan.

"Majistret (Nur Hafizah Rajuni) kemudian membebaskan (Sheila). Dia (Sheila) sangat gembira, dan bersedia menghadapi dua lagi pertuduhan (menunggu).

“Dia tidak bersalah melainkan dibuktikan bersalah melampaui keraguan munasabah,” kata Manoharan kepada Malaysiakini.

Dua lagi kes jenayah yang belum selesai terhadap Sheila, satu berhubung dakwaan mengaibkan anggota polis, lans koperal Abdul Arif Farhan Abdul Razak, dan satu lagi kerana dakwaan ugutan jenayah terhadap individu bernama M Silverkoomarie.

Dua kes tertangguh itu ditetapkan untuk dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang esok.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi pihak pendakwaan untuk mendapatkan jawapan berhubung perkara itu.

Pertuduhan mengaibkan itu didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, pertuduhan ugutan jenayah mengikut Seksyen 506 akta yang sama boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS