Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini mengemukakan usul tergempar di Dewan Rakyat bagi membahaskan isu buli di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Dalam catatan di X, Syed Saddiq berkata kes buli telah menjadi sistemik dan dinormalisasikan di UPNM.
“Ini mengarut. Saya menghantar usul tergempar ke Parlimen untuk cari penyelesaian yang tuntas supaya budaya buli dinoktahkan.
"Cukup-cukuplahlah. Nak tunggu ada kematian lagi ke baru nak bertindak?" katanya yang turut menyiarkan surat yang dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul.
Baru-baru ini UNPM digemparkan dengan satu lagi insiden buli melibatkan seorang kadet tentera berusia 19 tahun yang mengalami patah tulang belakang dan rusuk selepas diserang oleh kadet lain pada 21 Okt lalu.
Serangan itu berlaku lebih seminggu sebelum seorang lagi kadet didera dengan seterika panas di universiti yang sama.
Ketua polis Kuala Lumpur, Rusdi Mohd Isa hari ini memberitahu Malaysiakini polis telah merekodkan keterangan daripada sembilan individu yang terlibat dalam kes berkenaan.
Dalam surat yang dihantar kepada Johari, Syed Saddiq berkata usul berkenaan perlu disegerakan kerana isu itu melibatkan nyawa dan keselamatan penuntut di UPNM.
“Mengikut laporan kes yang diberitahu, sehingga ke hari ini masih terdapat kes-kes pembulian yang berlaku walaupun peristiwa menggemparkan yang telah meragut nyawa telah berlaku di tempat yang sama.
“Malah terdapat juga kemungkinan ada kes-kes yang tidak dilaporkan kepada pihak pengurusan kerana bimbang keselamatan pengadu tidak dapat terjamin,” katanya.
Menurutnya, usul itu juga melibatkan kepentingan orang ramai kerana kes buli tidak hanya inklusif kepada penuntut UPNM.
Pada 2017, kadet tentera laut UPNM, Zulfarhan Osman Zulkarnain meninggal dunia selepas 80 peratus badannya melecur akibat didera dengan seterika panas
Pada 23 Julai, enam pelajar UPNM dijatuhi hukuman mati kerana mmbunuh Zulfarhan selepas Mahkamah Rayuan mengetepikan sabitan awal terhadap mereka bagi kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat membunuh.