Kerajaan tidak akan membentuk monopoli dalam industri elemen nadir bumi (REE) seperti berlaku dalam bidang minyak dan gas melalui syarikat negara Petronas.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Nik Nazmi Nik Ahmad memberitahu Dewan Rakyat,  kerajaan memang berhasrat mencontohi kejayaan Petronas tetapi tidak akan mewujudkan entiti sebegitu dalam bidang REE.

“Walaupun ada pelbagai juga dibangkitan oleh beberapa YB nak buat Petronas sebagainya bagi REE, (perkara ini) tidak timbul sebab kita mahu menggunakan Akta Pembangunan Mineral dan juga Perlembagaan Persekutuan yang sedia ada.

“Apa-apa pun kita akan melalui Akta Pembangunan Mineral 1994 untuk kita tambah baik.

“Tapi kita tak berhasrat untuk membuat satu syarikat monopoli dan sebagainya. Jadi itu yang kita hasratkan dan buat masa ini,” katanya.

Mengulas mengenai potensi industri perlombongan REE di Malaysia, Nik Nazmi menyebut projek perintis di Kenering, Perak yang dibenarkan untuk mengeksport REE dan masih mencari pelabur memandangkan perbincangan awal dengan syarikat perlombongan tempatan dan antarabangsa masih belum selesai.

“Namun, berikutan stok tertunggak sedia ada yang telah pun dilombong, kebenaran khas telah diberikan untuk tempoh yang munasabah untuk mereka mengeksport,” katanya.

Nik Nazmi Nik Ahmad

Pada 27 Sept lalu, Menteri Besar Perak Saarani Mohamad memaklumkan kerajaan negeri itu menerima royalti bernilai hampir RM16 juta hasil daripada projek rintis perlombongan NR-REE di Kenering yang terletak di Gerik, setakat Julai lalu.

Saarani berkata, jumlah royalti yang diterima menerusi projek di atas tanah berkeluasan 87.4 hektar itu merupakan hasil 10 kali pengeksportan ke China.

Kenyataan itu selari dengan aspirasi Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang ingin Malaysia memanfaatkan sepenuhnya potensi besar industri nadir bumi terutama daripada sumber tempatan.

Pada Ogos lalu, Anwar menegaskan kerjasama dengan pemain antarabangsa yang berkepakaran perlu didasarkan kepada matlamat akhir membangunkan keseluruhan rantaian industri dalam negara.

Lynas sedia proses REE

Sementara itu, Nik Nazmi juga berkata syarikat perlombongan yang berpangkalan di Australia, Lynas Corporation telah menyatakan kesediaannya untuk memproses REE yang dilombong di Malaysia.

“Lynas sudah menyatakan komitmennya bahawa mereka sudah bersedia untuk membuka satu lagi laluan untuk memproses REE dari Malaysia, cuma kita mengatakan sebarang tindakan ini perlulah mematuhi syarat-syarat alam sekitar keselamatan kesihatan yang ketat,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahmad Amzad Hashim (PN-Kuala Terengganu).

Bagaimanapun, Nik Nazmi berkata kerajaan masih dalam perbincangan dengan syarikat gergasi perlombongan itu berhubung pelanjutan tempoh lesennya.

Katanya, inisiatif seumpama itu memerlukan jumlah pelaburan yang besar untuk menjadikannya sebagai produk yang menarik, jika tidak ingin berdepan risiko penutupan dalam tempoh dua atau tiga tahun selepas beroperasi.

“Bukan sahaja mereka (Lynas), ada syarikat-syarikat seperti Super Magnet dan sebagainya yang juga ingin membuka kilang di Malaysia kerana mereka tahu ada masa depan kerana buat masa ini, produk daripada Lynas di Malaysia diterima dari Australia.

“Kita process dan kita jual kepada Vietnam, Jepun dan beberapa negara lain,” katanya lagi.

Lesen operasi Lynas telah diperbaharui pada Oktober tahun lalu.

Ia sah sehingga Mac 2026 dan bergantung kepada pematuhan terhadap peraturan ketat dalam soal pelupusan sisa radioaktif.

Kerajaan menyasarkan untuk menyiapkan pembinaan tapak pelupusan kekal untuk sisa Lynas menjelang akhir tahun ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS