PARLIMEN l Ketua Whip Pembangkang Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) hari ini merujuk Peraturan Tetap 36(12) dan mendakwa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) Azalina Othman Said mengelirukan Dewan Rakyat.
Memetik Hansard 6 Nov, setiausaha agung PAS itu berkata Azalina mengelirukan Dewan Rakyat berhubung interaksi mereka mengenai addendum titah yang mencadangkan penahanan rumah ke atas bekas perdana menteri Najib Razak.
Menurut Hansard, Azalina dilaporkan berkata sebagai menteri undang-undang, dia tidak terlibat dengan Lembaga Pengampunan.
Takiyuddin juga merujuk kepada kenyataan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan pada 2 Februari, yang ditandatangani oleh sekretariat lembaga itu di bawah Bahagian Hal Ehwal Uundang-undang, Jabatan Perdana Menteri.
“Iaitu kementerian YB menteri undang-undang sendiri.
“Jadi bagi saya, YB Menteri Undang-undang telah mengelirukan Dewan. She misled the house dan ini adalah satu contempt, satu penghinaan kepada majlis,” katanya.
Bagaimanapun, Ronald Kiandee (PN-Beluran) menjelaskan bahawa pembangkang tidak berhasrat untuk merujuk Azalina ke Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen.
Sebaliknya, dia mencadangkan Azalina memberikan penjelasan, sambil menambah bahawa ia akan menjadikan proses lebih singkat untuk Speaker Johari Abdul.
“Speaker mempunyai kuasa untuk meminta menteri memberi penjelasan di Dewan ini daripada kita memfailkan aduan bertulis dan sebagainya. Itu itu merupakan tindakan yang lebih akrab, lebih pendek prosesnya untuk dilakukan oleh speaker,”katanya.
Cadangan itu diterima oleh Johari, yang nyata gembira dengan kompromi tersebut dan akan melihat fakta perkara itu sebelum membuat keputusan.
“Tepat, Beluran, terima kasih. mentor saya juga.
“Tapi namun begitu saya kena tengok fakta dan saya akan nasihatkan menteri sama ada mereka datang dan memberikan penjelasan ataupun dia menulis dan saya akan membaca apa yang dimaksudkan,” katanya.
Johari berkata, persefahan seumpama itu menjadikan suasana Dewan Rakyat hari ini terasa lebih tenang.