Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PRN17 Sabah: BN namakan Salleh Said sebagai calon BN di Usukan
Diterbitkan:  Nov 11, 2024 12:04 PM
Dikemaskini: 4:05 AM

Pengerusi BN Sabah yang juga pengerusi Umno negeri, Bung Moktar Radin menamakan bekas ketua menteri Sabah, Salleh Said Keruak sebagai bakal calon BN yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Katanya, Salleh akan bertanding di kerusi DUN Usukan di Kota Belud kerana memenuhi kriteria yang diperlukan selain sejajar dengan aspirasi rakyat.

"Beliau menabur bakti dan sumbangan besar kepada parti dan rakyat, khususnya di kawasan itu. Selain memenuhi kriteria, beliau juga pilihan rakyat kawasan itu (yang mahu dia dikekalkan)," katanya yang dipetik akhbar Berita Harian Online, hari ini.

Bulan lalu, Bung Moktar menamakan Ketua Bahagian Umno Putatan, Jeffrey Nor Mohamed sebagai calon BN di DUN Tanjung Keramat.

Kerusi itu kini disandang Timbalan Ketua Menteri Sabah, Shahelmey Yahya yang menang pada PRN16 September 2020 lalu atas tiket BN.

Shahelmey Yahya

Bagaimanapun, Shahelmey digantung keahlian dalam Umno selama enam tahun bermula awal tahun lalu kerana terus menyokong kepemimpinan Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor selepas Umno dan BN negeri menyatakan hilang kepercayaan terhadap Hajiji dan menarik sokongan kepada kerajaan negeri.

Mandat pentadbiran kerajaan negeri yang ada sekarang berakhir Oktober 2025.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS