Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pelantar Delima ganti 1BestariNet yang berdepan masalah
Diterbitkan:  Nov 11, 2024 11:24 AM
Dikemaskini: 4:16 AM

PARLIMEN l Kementerian Pendidikan (KPM) menggunakan pelantar Delima bagi meneruskan agenda pendidikan digital selepas penamatan kontrak 1BestariNet pada Jun 2019.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, sejak pelaksanannya Delima telah menampakkan keberkesannya dalam meneruskan agenda pendidikan digital negara.

"Apabila kontrak 1BestariNet ditamatkan, kita telah gantikan dengan pelantar (Delima) yang dibangunkan secara in-house oleh KPM.

Wong Kah Woh (PH-Taiping)

"Sehingga kini kita telah menempatkan 789 buku teks digital asas, 12,762 video pembelajaran dan 170 podcast video pendidikan yang boleh diakses secara percuma oleh guru dan murid.

"Ini adalah tekad dan usaha KPM dalam membangunkan pendidikan digital," katanya ketika menjawab soalan tambahan pada sesi pertanyaan lisan di Parlimen, pagi ini.

Tambah Wong (PH-Taiping), dia yakin pelantar Dilema telah memberi manfaat yang baik kepada murid dan guru.

Soalan tambahan dibangkitkan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) yang bertanya apakah usaha KPM untuk memastikan pendidikan digital tidak terjejas selepas penamatan 1BestariNet.

Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang)

Sementara itu Wong dalam menjawab pertanyaan yang dibangkitkan Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) berhubung status terkini 1BestariNet dan tindakan undang-undang yang diambil.

Timbalan Menteri Pendidikan itu berkata, meskipun perjanjian 1BestariNet fasa dua telah tamat pada 30 Jun 2019, namun terdapat isu yang belum selesai.

"Walau bagaimanapun, selepas perjanjian tamat, terdapat isu yang belum selesai iaitu berkaitan kadar sewaan tapak dan caj elektrik untuk menara 1BestariNet Receiver Integrated System (1BRIS) yang melibatkan 2,748 menara.

"Untuk makluman ahli yang berhormat, pada tahun 2019, KPM merancang rundingan dengan syarikat mengenai kadar penyewaan tapak dan caj elektrik menara 1BestariNet, namun rundingan tertangguh kerana YTLC memfailkan permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman terhadap kerajaan.

"Rundingan diteruskan setelah syarikat menarik balik permohonan itu pada 5 Oktober 2021, seperti disyaratkan oleh KPM," katanya.

Wong juga memaklumkan tiada tindakan undang-undang difailkan di mahkamah setakat ini bagi menyelesaikan semua legasi masalah 1BestariNet yang ditinggalkan kerajaan terdahulu.

Dia berkata, pada 17 Mac 2023 nota jemaah menteri berkaitan cadangan penyelesaian isu sewaan tapak dan caj elektrik menara komunikasi 1BRIS bagi projek perkhidmatan 1BestariNet fasa dua dan pasca 1BestariNet telah dibentangkan dalam mesyuarat jemaah menteri.

Katanya, walaupun perjanjian 1BestariNet fasa dua telah tamat pada 30 Jun 2019, namun terdapat isu yang masih belum diselesaikan.

Kementerian Pendidikan, katanya sedang memuktamadkan cadangan penyelesaian dan akan mengemukakan kepada Jemaah Menteri melalui Memorandum Jemaah Menteri untuk menentukan hala tuju penyelesaian isu itu.

“Tidak ada tindakan undang-undang sivil difailkan di mahkamah oleh kerajaan setakat Ini. Dalam masa yang sama, pelaksanaan projek 1BestariNet masih dalam siasatan SPRM.

“KPM menyerahkan sepenuhnya kepada SPRM untuk menyiasat perkara ini dan bersedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM,” katanya lagi.

Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi)

Terdahulu, Suhaimi meluahkan rasa kecewa apabila YTL Corporation Bhd (YTL) masih diberikan beberapa projek lain bernilai puluhan bilion meskipun bermasalah dalam melaksanakan projek 1BestariNet melalui YTL Communications Sdn Bhd.

Katanya, situasi ini memperlihatkan seolah-olah tiada tindakan diambil terhadap syarikat swasta itu yang gagal dalam melaksanakan projek bernilai RM4 bilion.

"Saya berasa cukup kecewa kerana seolah-olah tiada hukuman kepada syarikat sebegini, selepas dua tahun (kontrak 1BestariNet) ditamatkan pada 2019.

"Kemudian pada 2021 YTL diberikan projek 'multi lane free flow', kemudian ada lagi, 'Digital Banking Licenses' April 2022 dan 'Extension of Express Rail Consession'," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS