Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis rakam keterangan 9 individu kes buli terbaru di UPNM

Polis telah merekodkan keterangan sembilan individu yang dikaitkan dengan dakwaan kes buli terbaru di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

“Suspek dijangka akan memberi keterangan pada sebelah petang di ibu pejabat polis daerah Cheras,” kata Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa kepada Malaysiakini hari ini.

UNPM dikejutkan dengan satu lagi insiden buli melibatkan seorang kadet tentera berusia 19 tahun mengalami patah tulang belakang dan rusuk selepas diserang oleh kadet lain.

Rusdi berkata dalam kejadian 21 Okt lepas, seorang kadet tahun tiga telah memijak mangsa sehingga mengakibatkan kecederaan.

Polis hanya menerima laporan pada 8 Nov.

Serangan itu berlaku lebih seminggu sebelum seorang lagi kadet didera dengan seterika panas di universiti yang sama.

Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin mengecam kes buli terbaru di akademi tentera itu.

Dia berkata kementerian telah menyerahkan perkara itu kepada polis.

Susulan insiden terbaharu itu, ahli akademik Tajuddin Mohd Rasdi telah mencadangkan agar UPNM digantung.

"Ini sepatutnya menjadi kes terakhir," katanya kepada Malaysiakini.

“Ibu bapa menghantar anak mereka ke universiti untuk belajar, bukan untuk mati. Kita ingin melihat anak-anak kita dalam jubah graduasi, bukan kain kafan pengebumian.

“Jika saya jadi menteri, saya akan menggantung keseluruhan universiti dan memindahkan pelajar, ahli akademik dan kakitangan ke institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang lain,” tambahnya.

Pada 2017, kadet tentera laut UPNM Zulfarhan Osman Zulkarnain meninggal dunia selepas melecur pada 80 peratus badannya apabila dia diseksa dengan seterika wap.

Pada 23 Julai, enam dijatuhi hukuman mati bagi kematian Zulfarhan selepas Mahkamah Rayuan mengetepikan sabitan awal mereka bagi kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat membunuh.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS