Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Video rasuah: Pemberi maklumat hantar surat pada PM kait 'pemimpin tertinggi' negeri

Pemberi maklumat yang memiliki bukti video berhubung skandal rasuah yang didakwa melibatkan beberapa ahli politik telah menghantar surat rasmi kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim meminta diberi perlindungan sebelum membuat laporan SPRM.

Surat itu, yang salinannya diserahkan kepada Malaysiakini, mendakwa selain lapan Adun itu, "pemimpin tertinggi" negeri berkenaan juga terlibat dalam skandal berkenaan.

Ia mengandungi dakwaan tertentu penyalahgunaan kuasa terhadap pemimpin tertinggi itu yang mana pemberi maklumat meminta Malaysiakini tidak dedahkan buat masa ini.

Surat yang disediakan oleh peguamnya Mohamed Izwan Azmi daripada Izwan Mazniza Kamil and Associates menyatakan jumlah keseluruhan dakwaan suapan itu ialah RM4 juta.

Surat itu yang dihantar pagi ini turut dimajukan kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.

Difahamkan surat itu dirangka selepas salah seorang pembantu perdana menteri menghubungi pemberi maklumat berkenaan berikutan kenyataan dalam artikel Malaysiakini menyatakan kebimbangan terhadap kemungkinan tindakan balas dan merayu agar Anwar campur tangan.

“Anak guam kami mempunyai bukti kukuh, termasuk tangkapan skrin perbualan WhatsApp dengan YB (Adun) terbabit, dokumen dan klip video HD (definisi tinggi) yang mana YB mengaku menerima rasuah.

“Untuk makluman, anak guam kami bersedia menjadi pengadu dalam kes ini, menyerahkan bukti dan menjadi saksi SPRM,” baca surat itu.

Bagaimanapun, surat itu berkata pemberi maklumat berkenaan bimbang tentang pengaruh ahli politik itu dan SPRM sebaliknya akan menggunakan bukti tersebut ke atasnya.

Surat itu mendedahkan bahawa pemberi maklumat telah cuba mendapatkan jaminan bertulis daripada SPRM selama lebih dua minggu.

“Dengan rasa dukacita kami memaklumkan bahawa walaupun Encik Izwan dari pihak kami (firma guaman) telah menghantar dua surat kepada SPRM dan tiga kali pergi ke ibu pejabat SPRM untuk membincangkan perkara itu, termasuk bertemu dengan ketua unit risikan, SPRM tetap tegas kerana tidak mahu memberikan jaminan bertulis melainkan anak guam kami mengemukakan semua bukti.

"SPRM juga bertegas dalam keengganannya untuk mengeluarkan jaminan bahawa perlindungan yang diberikan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat tidak akan dibatalkan," tambahnya.

Firma guaman itu menyatakan bahawa ia telah menerima arahan daripada anak guamnya untuk merayu bagi pihaknya untuk mendapatkan bantuan Anwar dalam mendapatkan jaminan hitam-putih.

“Anak guam kami percaya bahawa perlindungan yang dia minta perlu dipertimbangkan oleh YAB Dato Seri (Anwar) dan SPRM kerana ini akan menghapuskan ketidakpastian dalam memberikan imuniti kepada anak guam kami sebagai pemberi maklumat.

“Anak guam kami bimbang dengan pengaruh dan kuasa politik YB terbabit kerana menurut anak guam kami, ‘dinding pun ada telinga’ di mana kerahsiaan maklumat dan bukti yang dikemukakan serta keselamatan anak guam kami tidak terjamin.

“Anak guam kami bimbang SPRM akan menangkap dan mendakwanya jika dia hadir (di suruhanjaya) tanpa jaminan bertulis (di tangan),” tambahnya.

Firma itu berkata walaupun SPRM memaklumkan tiada pengadu pernah didakwa, pemberi maklumat itu masih tidak yakin kerana pengaruh dan kuasa pihak terbabit.

“Anak guam kami percaya sekiranya YAB Dato Seri (Anwar) dapat memberi arahan yang sewajarnya kepada SPRM berhubung permintaan jaminan bertulis, ia akan menggalakkan lebih ramai pemberi maklumat untuk tampil ke hadapan.

“Anak guam kami yakin jika aktiviti rasuah lapan YB itu terdedah, ia akan meningkatkan integriti kerajaan dan (reputasi) SPRM, bukan sahaja di mata rakyat Malaysia tetapi juga di peringkat antarabangsa,” katanya.

Bagaimanapun, surat itu tidak menyebut Adun yang terlibat dari negeri mana. Malaysiakini juga menahan identiti mereka atas permintaan pemberi maklumat itu.

Sabtu lalu, Azam memberitahu Malaysiakini bahawa pegawainya telah bertemu peguam pemberi maklumat itu pada 30 Okt di mana hanya klip video berdurasi 17 saat "orang bercakap tentang wang" dimainkan.

Sambil menggesa pemberi maklumat untuk tampil ke hadapan, dia berkata SPRM tidak boleh memberikan jaminan bertulis bahawa dia tidak akan disiasat atau didakwa.

Azam menegaskan bahawa undang-undang menyatakan bahawa apabila individu itu memberikan maklumat kepada pihak berkuasa, dia dilindungi di bawah undang-undang tetapi ini boleh dibatalkan jika dia didapati terlibat dalam kesalahan itu.

MP Kepong mahu bangkitkan di parlimen

Sementara itu, Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng menggesa pemberi maklumat itu mengemukakan bukti dan nama Adun terbabit supaya dia boleh membangkitkan perkara itu di Dewan Rakyat.

“Untuk menegakkan undang-undang, saya menggesa pemberi maklumat untuk menghubungi saya sebelum sidang parlimen berakhir pada pertengahan Disember.

"Saya bersedia untuk mengemukakan bukti dan mendedahkan nama mereka yang terlibat di Parlimen, mendesak pihak berkuasa untuk mengambil tindakan segera terhadap mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS