Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM harap sidang kemuncak Arab-Islam capai kata sepakat isu Gaza

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berharap Sidang Kemuncak Arab-Islam yang dijadual berlangsung hari ini di Riyadh, Arab Saudi akan dapat mencapai kata sepakat sesama negara Islam bagi menyelesaikan konflik di Gaza, Palestin.

Anwar dalam syarahan umum di Universiti Al-Azhar di Mesir semalam juga mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Mesir yang memudahkan Malaysia menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.

“Esok (hari ini) kita adakan mesyuarat tergempar negara Islam dan Arab di Riyadh. Jadi saya dan Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi akan ke Riyadh (untuk hadir bagi) bincang perkembangan terakhir Gaza dan Palestin.

“Saya ucapkan terima kasih kepada presiden dan kerajaan Mesir kerana bantuan mereka yang luar biasa untuk memudahkan Malaysia menghantar bantuan kemanusiaan kepada rakyat yang tertindas dan dizalimi di Gaza.

“Dan (terima kasih) juga (kerana) mengirim dua pesawat tentera ke Rafah untuk mengambil pesakit-pesakit Palestin (untuk) diletakkan di hospital tentera di Malaysia,” katanya yang berada di Mesir untuk lawatan rasmi empat hari sejak Sabtu.

Pada 1 Nov, Anwar mengesahkan dia telah menerima undangan daripada Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman bagi menghadiri persidangan khas di Riyadh.

Sementara itu, Anwar berkata Malaysia juga baru-baru ini mengambil langkah menyampaikan pandangan kepada rakan-rakan negara Arab untuk mendesak supaya Israel disingkir daripada menjadi anggota PBB berikutan kekejaman rejim berkenaan.

Dia berkata ini kerana pertama kali dalam sejarah moden, kebiadaban kemanusiaan berlaku keterlaluan tanpa kawalan dilakukan oleh rejim Israel.

“Rejim Israel seolah-olah mahu melenyapkan rakyat Palestin dari bumi Gaza dan melakukan apa yang disebut genosid. Belum ada dalam sejarah manusia ketika ini, satu negara boleh melanggar semua peraturan dan undang-undang, membunuh anak-anak dan wanita, melakukan kekejaman dengan merampas tanah, menakluki sebagai penjajah.

“Maka sebab itu Malaysia telah cuba menyampaikan pandangan kepada rakan-rakan kita di negara Arab dan Islam, dengan membangun yang disebut sebagai Global South atau Pakatan Negara Selatan untuk mendesak supaya Israel disingkir sebagai anggota PBB,” katanya.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS