Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lagi kes buli di UPNM - tulang belakang, rusuk kadet retak
Diterbitkan:  Nov 10, 2024 8:29 PM
Dikemaskini: 12:37 PM

Seorang kadet Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) berusia 19 tahun mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang, dalam satu lagi kes buli di universiti itu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohed Isa berkata dalam kejadian yang berlaku pada 21 Oktober lalu, seorang kadet tahun tiga telah memijak mangsa sehingga membawa kepada kecederaan itu.

Polis hanya menerima laporan pada 8 November lalu.

Kenyataan media Rusdi tidak menyatakan punca insiden.

Namun ia berlaku seminggu sebelum satu lagi kes buli di UPNM, di mana dada seorang kadet berusia 20 tahun ditekap dengan seterika panas sehingga melecur.

Ketika berucap di UPNM pada 1 November lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyifatkan gejala buli sebagai “kegilaan” dan menggesa tindakan lebih tegas diambil untuk membanterasnya.

Suspek dalam kes buli dengan seterika panas diheret ke mahkamah pada Jumaat lalu.

Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain

Dua kes ini timbul tujuh tahun selepas kejadian buli kejam dan pembunuhan kadet tentera laut UPNM, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain, yang turut melibatkan seterika panas.

Zulfarhan meninggal dunia pada 1 Jun 2017 di Hospital Serdang akibat kecederaan daripada 90 kali ditekap dengan seterika wap, yang menyebabkan 80 peratus tubuhnya melecur.

Mangsa berusia 21 tahun itu didakwa diserang berulang kali kerana enggan mengaku mencuri komputer riba milik pelajar lain di asrama universiti awam tersebut di Kuala Lumpur antara 21 dan 22 Mei tahun itu.

Susulan kejadian itu, enam bekas pelajar UPNM disabitkan membunuh Zulfarhan dan dijatuhi hukuman mati.

Keenam-enam tertuduh itu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS