Paling Popular
Terkini

Menteri Digital Gobind Singh Deo gagal mendapat tempat dalam jawantakuasa DAP Selangor susulan pemilihan parti peringkat negeri itu hari ini.

Menjadi pengerusi DAP Selangor pada penggal lalu, Gobind merupakan satu-satunya menteri yang gagal terpilih dalam jawatankuasa tersebut.

Ketika ditemui pemberita selepas pengumuman keputusan, Gobind bagaimanapun dilihat menerima kekalahan itu.

“Saya mengucapkan tahniah kepada mereka (yang menang) dan…apa saja yang boleh saya bantu, saya akan bantu,” katanya.

Gobind juga nampaknya menolak sebarang tawaran untuk dimasukkan ke dalam jawatankuasa itu secara lantikan.

Kekalahan itu walaupun setelah Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata kepada perwakilan yang dia berharap jawatankuasa negeri dianggotai pemimpin pelbagai kaum, termasuk seorang “Singh”, merujuk kepada Punjabi.

Tiada pemimpin Punjabi yang terpilih dalam jawatankuasa kali ini.

Ahli Parlimen Puchong Yeo Bee Yin mendapat tempat pertama selepas meraih 1,180 undi.

Kebanyakan yang terpilih untuk menganggotai jawatankuasa negeri adalah Adun dan ahli Parlimen.

Berikut adalah senarai pemenang kali ini:

  1. Yeo Bee Yin (MP Puchong)

  2. Tiew Way Keng (bekas Adun Teratai)

  3. Ng Sze Han (Adun Kinrara, Exco Selangor)

  4. V Papparaidu (Adun Banting, Exco Selangor)

  5. V Ganabatirau (MP Klang)

  6. Jamaliah Jamaluddin (Adun Bandar Utama, Exco Selangor)

  7. Wong Siew Ki (Adun Seri Kembangan)

  8. Lee Fu Haw

  9. Wayne Ong Chun Wei (Adun Balakong)

  10. Michelle Ng (Adun Subang Jaya)

  11. Ng Suee Lim (Adun Sekinchan, Exco Selangor)

  12. Rajiv Rishyakaran (Adun Bukit Gasing)

  13. Tony Leong Tuck Chee (Adun Pandamaran)

  14. Syahredzan Johan (MP Bangi)

  15. Ean Yong Hian Wah

Mereka kemudian memilih Sze Han sebagai pengerusi DAP Selangor yang baru, dengan Ganabatirau sebagai timbalannya.

Suee Lim dan Ean Yong pula dilantik menjadi naib pengerusi manakala Yeo menjadi setiausaha.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS