Taikun perniagaan Vincent Tan mempertahankan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di tengah kontroversi pemilihan U Mobile selaku pengendali rangkaian 5G kedua negara.
Tan yang merupakan pengerusi U Mobile berkata Sultan Ibrahim telah menjadi pemegang saham syarikat itu sejak 2015, iaitu sembilan tahun sebelum menjadi Agong.
“Di saat kita menggalakkan perbincangan awam yang sihat, kita juga perlu menggesa yang sebarang komen melibatkan Agong kita dibuat secara bertanggungjawab dan berlandaskan fakta, bukan tuduhan liar.
“U Mobile telah dan akan sentiasa terbuka untuk berhubung dengan masyarakat awam secara telus dan membina.
“Ini kerana kejayaan U Mobile adalah ekoran sokongan masyarakat…,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan Business Today, hari ini.
Sultan Ibrahim adalah pemegang saham kedua terbesar dalam U Mobile, dengan 22.3 peratus pegangan.
Pemegang saham terbesar adalah Straits Mobile Investments Pte Ltd - subsidiari kepada ST Telemedia milik syarikat pelaburan Singapura, Temasek - dengan 48.3 peratus peangan.
Hari ini, Straits Mobile Investments diumumkan akan mengurangkan pegangannya kepada 20 peratus.
Tidak jelas siapa yang akan memiliki 29 peratus pegangan yang akan dilepaskan itu, namun kecuali ia akan menjadi milik satu entiti tunggal, Sultan Ibrahim boleh menjadi pemegang saham terbesar selepas ini.
Setanding dengan syarikat lain
Selain penglibatan Agong, keputusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkenaan pemilihan U Mobile turut membangkitkan persoalan mengapa syarikat telekomunikasi lain yang lebih berpengalaman diketepikan.
Dalam kenyataan hari ni, Tan berkata syarikatnya mempunyai kemampuan sama dengan syarikat lain.
“Dengan liputan rangkaian populasi pada tahap 95 peratus, U Mobile setanding dengan CelcomDigi dan Maxis,” katanya.
Katanya lagi, U Mobile adalah syarikat telekomunikasi pertama yang menawarkan perkhidmatan 5G tanpa kos tambahan, dan secara konsisten menawarkan perkhidmatan dengan harga 20 hingga 25 peratus lebih rendah berbanding pesaingnya.
Terdahulu, SKMM berkata U Mobile dipilih atas beberapa faktor, antaranya rancangan perniagaan dan teknikalnya, rekod kadar aduan dan kepuasan pelanggan dan pencapaian syarikat dalam melaksanakan inisiatif infrastruktur lain.
SKMM namun tidak menjelaskan bagaimana bidaan yang dibuat U Mobile lebih baik berbanding syarikat telekomunikasi lain.
Tak libatkan duit rakyat
Sementara itu, Tan juga mengkritik pentadbiran bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin kerana cuba mewujudkan monopoli 5G menerusi Digital Nasional Berhad (DNB).
Dia mendakwa langkah itu membawa risiko kepada wang pembayar cukai.
Sebaliknya, katanya, tiada dana awam akan digunakan dalam jaringan U Mobile.
“Bertentangan dengan tuduhan liar, tiada kontrak berbilion ringgit yang melibatkan wang pembayar cukai diberikan kepada U Mobile.
“U Mobile akan mendanai keseluruhan pelaksanaan rangkaian kedua ini.
“Tiada satu sen pun wang pembayar cukai akan digunakan, sangat berbeza dengan model monopoli pentadbiran Muhyiddin yang didanai pembayar cukai dan mendedahkan risiko kepada wang pembayar cukai kita,” katanya lagi.