Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Serah pada SPRM siasat dakwaan video Adun bincang rasuah - MP Bentong
Diterbitkan:  Nov 10, 2024 3:00 PM
Dikemaskini: 7:00 AM

Seorang lagi ahli parlimen menyatakan bahawa SPRM perlu menyiasat dakwaan pemberi maklumat yang dikatakan memiliki bukti video mengenai skandal rasuah besar-besaran di sebuah negeri.

Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman, juga ahli salah satu jawatankuasa penasihat khas SPRM, berkata perkara itu masih di peringkat awal untuk membuat spekulasi mengenai dakwaan kes rasuah yang pertama kali dilaporkan oleh Malaysiakini semalam.

“Saya hanya meminta saksi mengikut nasihat SPRM dan membuat aduan rasmi supaya perlindungan boleh diberikan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

“Selain itu, saya menyerahkan kepada SPRM untuk menjalankan siasatan lanjut berdasarkan bukti yang ada, dan mengambil tindakan yang perlu di bawah undang-undang,” kata ahli jawatankuasa eksekutif pusat DAP itu kepada Malaysiakini.

Semalam, Malaysiakini melaporkan bahawa ia melihat lapan video, setiap satu memaparkan Adun berbeza, yang didakwa menerima ratusan ribu ringgit untuk menyokong permohonan sebuah syarikat untuk projek di negeri mereka.

Identiti ahli politik dalam video dan negeri itu belum didedahkan atas permintaan pemberi maklumat.

Syefura bagaimanapun berkata setiap kerajaan negeri akan mempunyai unit integriti sedia ada yang ditugaskan untuk mengendalikan sebarang aduan berkaitan rasuah.

“Ini termasuk menjalankan siasatan dalaman untuk mengesahkan aduan dan memberi kerjasama penuh kepada SPRM,” katanya.

Perbincangan dalam video itu melibatkan seorang ahli perniagaan, yang wajahnya tidak kelihatan, meminta ahli politik, termasuk mereka yang memegang jawatan kanan, memulangkan wang itu kerana lesen untuk projek itu telah dibatalkan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki kemudiannya mengesahkan bahawa pertemuan antara pegawainya dan peguam pemberi maklumat itu telah berlangsung pada 30 Okt.

Awal hari ini, Malaysiakini melaporkan bahawa pemberi maklumat itu sedia tampil mendedahkan perkara itu namun takut akan tindakan balas ke atasny oleh itu sedang cuba mendapatkan jaminan perlindungan sebelum membuat laporan SPRM.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS