PSM mempersoalkan sikap berdiam diri ahli politik dari kerajaan dan pembangkang berhubung pendedahan mengejutkan seorang pemberi maklumat yang didakwa memiliki bukti video skandal rasuah besar-besaran di sebuah negeri.
Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan mengesyaki bahawa ia adalah kerana identiti ahli politik yang terlibat belum didedahkan.
“Saya rasa semua orang berhati-hati. Mereka tidak mahu menembak kaki sendiri sekiranya ia melibatkan negeri mereka sendiri atau di bawah pakatan mereka.
“Sejak berita itu disiarkan (semalam), saya telah dibanjiri dengan panggilan dan mesej daripada individu yang bimbang bertanya sama ada saya mempunyai petunjuk di negeri mana,” katanya kepada Malaysiakini.
Arutchelvan berkata jika ahli politik itu dikenal pasti, senarionya akan berbeza dengan serangan bertali arus dari kem lawan.
“Mereka akan menjerit tentang tadbir urus yang baik. Pelbagai laporan polis dan SPRM akan dibuat. Sidang akhbar akan dipanggil.
"Saya tidak akan terkejut jika ahli politik malah tampil dengan tawaran untuk memastikan pemberi maklumat selamat di rumah mereka, apatah lagi menyokong permintaannya untuk perlindungan," tambahnya.
Arutchelvan berkata tindakan berdiam diri itu mendedahkan bahawa prinsip ahli politik sering kali bergantung kepada keadaan.
“Tindakan berdiam diri ini juga boleh memberi isyarat bahawa terdapat banyak skandal yang disembunyikan di mana-mana. Jadi tiada siapa yang mahu menjadi orang pertama yang menyentuh mengenai skandal ini,” sindirnya.
Arutchelvan juga mengulangi gesaan PSM agar kerajaan dan SPRM melindungi pemberi maklumat.
“Ini penting bagi memastikan teknikal tidak digunakan untuk menghalang penyiasatan atau pendakwaan terhadap wakil rakyat yang didakwa mengkhianati sumpah jawatan dan amanah rakyat,” katanya.
Awal hari ini, Malaysiakini melaporkan bahawa pemberi maklumat takut akan tindakan balas dan oleh itu sedang mendapatkan jaminan perlindungan walaupun sebelum membuat laporan SPRM.
Dia berkata bukti dalam simpanannya, jika terdedah, boleh memberi kesan politik yang teruk dan menambah bahawa mereka yang akan terjejas mungkin cuba menutup mulutnya.
Semalam, Malaysiakini mendedahkan bahawa ia melihat lapan video, masing-masing memaparkan Adun berbeza, yang didakwa menerima ratusan ribu ringgit untuk menyokong permohonan sebuah syarikat untuk projek di negeri mereka.
Perbincangan dalam video itu melibatkan ahli perniagaan, yang wajahnya tidak kelihatan, meminta ahli politik, termasuk mereka yang memegang jawatan kanan, memulangkan wang itu kerana lesen untuk projek itu telah dibatalkan.
Malaysiakini menahan identiti ahli politik berkenaan atas permintaan pemberi maklumat.