Seorang wanita berusia 57 tahun dijangka menghadapi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas dakwaan menculik seorang pemaju Johor serta menuntut wang tebusan RM20 juta.
The Star melaporkan, wanita yang dipercayai mempunyai kaitan keluarga kepada mangsa berusia 59 tahun itu dijangka didakwa mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961.
Menurut kenyataan Ketua Polis Johor M Kumar malam tadi, wanita itu ditahan dan akan didakwa mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961, dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan, kerana bersubahat dengan tiga yang lain untuk menculik mangsa.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun, berserta sebatan.
Pada 4 Nov 2024, tiga individu sebelum ini didakwa—seorang lelaki tempatan dan dua lelaki warga asing berumur antara 29 dan 49 tahun—di Mahkamah Sesyen Johor Bahru di bawah pertuduhan yang sama.
Menurut kenyataan itu, ketiga-tiga suspek dinafikan ikat jamin, dan kes dijadualkan sebutan semula pada 17 November 2024.
“Berhubung kes ini, polis berjaya merampas beberapa barangan dipercayai ada kaitan dengan siasatan antaranya sepucuk pistol Pietro Beretta, 250 butir peluru hidup, sepasang gari, dan wang tunai berjumlah RM1.95 juta, SG$1 juta, dan AS$400,000," kata M Kumar.
Menurut The Star, mangsa sepatutnya membuat perjalanan bagi urusan perniagaan apabila kejadian itu berlaku. Penculik itu pada mulanya meminta wang tebusan RM30 juta, yang kemudiannya dirundingkan kepada RM20 juta.
Sebanyak 14 suspek telah diberkas berhubung kes itu, termasuk sepuluh warga tempatan—seorang daripadanya adalah saudara perempuan mangsa—dan tiga warga Vietnam, terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita.
Polis juga telah menemui lebih RM7 juta daripada wang tebusan RM20 juta yang dibayar kepada penculik.