Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim menggesa ketua pesuruhjaya SPRM Azam Baki supaya memberi pemberi maklumat, yang mempunyai bukti video dakwaan rasuah yang melibatkan beberapa Adun, perlindungan yang dia perlukan.
Dalam kenyataan di media sosial, Zaid berkata Azam perlu "menghapuskan ketidakpastian dalam pemberian imuniti" kepada pemberi maklumat.
“Inilah seorang rakyat yang telah bersusah payah melaporkan kebobrokan ahli politik…
“Kita harus menggalakkan pemberi maklumat untuk tampil ke hadapan dan memberitahunya bahawa dia mempunyai perlindungan sepenuhnya.
“Sikap SPRM seperti yang dilaporkan amat dikesali. Jika saya menjadi peguam kepada pemberi maklumat, saya juga akan memintanya untuk tidak mendedahkan skandal itu (jika tidak mendapat perlindungan),” katanya lagi.
Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan pemberi maklumat itu takut akan akibat dan oleh itu memohon jaminan perlindungan walaupun sebelum membuat laporan SPRM.
Dia berkata bukti dalam simpanannya, jika terdedah, boleh memberi kesan politik yang teruk dan memberi gambaran bahawa mereka yang akan terjejas mungkin cuba menutup mulutnya.
Pemberi maklumat itu berkata SPRM, yang telah dimaklumkan mengenai video itu, tidak dimaklumkan Adun yang terlibat dari negeri mana.
“Saya takut. Apabila ia melibatkan ahli politik, dinding pun ada telinga,” katanya kepada Malaysiakini.
Pemberi maklumat juga telah merayu kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk campur tangan dan memberi jaminan bahawa dia diberi perlindungan.
Semalam, Malaysiakini melaporkan bahawa ia melihat lapan video, setiap satu memaparkan Adun berbeza, yang didakwa menerima ratusan ribu ringgit untuk menyokong permohonan sebuah syarikat untuk projek di negeri mereka.
Perbincangan dalam video itu melibatkan ahli perniagaan, yang wajahnya tidak kelihatan, meminta ahli politik berkenaan, termasuk mereka yang memegang jawatan kanan, memulangkan wang itu kerana lesen untuk projek itu telah dibatalkan.