Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan Sarawak supaya perayaan Deepavali diwarta sebagai cuti umum.
Fadillah berkata dia memahami perkara itu antara isu yang sering dibangkitkan penganut Hindu di Bumi Kenyalang.
“Ramai yang menyuarakan agar Deepavali di Sarawak ini dapat menjadi sebahagian daripada cuti umum.
“Saya yakin perkara ini sudah diketahui kerajaan Sarawak dan saya sendiri akan kemukakan lagi,” katanya semasa berucap pada majlis makan malam Deepavali Persatuan India Kuching (IAK) di Kuching, malam tadi.
Sebelum ini, Premier Sarawak Abang Johari Openg dilaporkan berkata Sarawak akan meneliti permintaan komuniti India di negeri itu untuk mengisytiharkan cuti umum bagi perayaan Deepavali.
-Bernama