Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Iran menafikan sekeras-kerasnya bahawa ia telah merancang untuk membunuh presiden terpilih Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, berikutan tuduhan oleh Jabatan Kehakiman AS pada Jumaat, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Dalam satu kenyataan hari ini, jurucakap Kementerian Luar Iran Esmaeil Baghaei berkata dakwaan itu "sama sekali tidak berasas dan tidak berlandaskan fakta."

Baghaei berkata tuduhan serupa telah dibuat pada masa lepas dan pengulangannya dalam tempoh semasa adalah satu "konspirasi keji" yang bertujuan untuk merumitkan lagi hubungan antara Amerika Syarikat dan Iran.

Beberapa minggu lalu, pasukan kempen Trump mengumumkan pihaknya telah dimaklumkan oleh Perkhidmatan Rahsia AS mengenai ancaman sebenar dan konkrit dari Iran untuk membunuhnya.

Badan kehakiman AS telah mendakwa tiga lelaki yang juga dituduh merancang untuk membunuh seorang penentang Iran. Waran tangkap telah dikeluarkan untuk ketiga-tiga lelaki itu.

Semasa penggal pertama sebagai presiden AS, Trump menarik diri daripada perjanjian nuklear dengan Iran dan mengenakan sekatan baru terhadap negara itu.

Pada 2020, tentera AS membunuh Jeneral Iran Qassem Soleimani dalam serangan dron di ibu negara Iraq, Baghdad atas arahan Trump.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS