Dua sahabat yang ditawarkan pekerjaan di kasino dengan gaji RM4,000 sebulan di Kemboja akhirnya menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di negara itu.
Kedua-dua mangsa yang berasal dari Felda Air Tawar 4 di Kota Tinggi, sebaliknya dipaksa menjadi penipu atau scammer dan bekerja selama 18 jam setiap hari bermula 7 pagi hingga 1 pagi tanpa dibayar gaji.
Nurazlin Zulkifli, 28, dan Mohd Sofi Khairul Fadzilah, 33, bersama lapan lagi rakyat Malaysia dari Sarawak ditahan pihak imigresen Kemboja pada September lepas setelah lokasi tempat mereka bekerja di Sihanoukville diserbu pihak berkuasa.
Namun, penderitaan mereka akhirnya berakhir apabila mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said merangkap Ahli Parlimen Pengerang yang membantu urusan mereka kembali ke tanah air.
Menceritakan pengalaman pahit itu, Nurazlin berkata dia bertolak ke Kemboja pada 18 April lepas manakala rakannya Mohd Sofi tiba seminggu kemudian.
"Selepas rakan saya sampai, kami mula bekerja keesokannya dan menyedari ditipu selepas dipaksa bekerja sebagai scammer yang menyasarkan orang di Malaysia.
“Pada awalnya kami dilayan dengan baik, namun lama-kelamaan apabila tidak dibayar gaji, kami minta mahu balik Malaysia, bagaimanapun mereka ugut suruh bayar RM30,000 sebelum lokasi tempat kami bekerja diserbu," katanya pada sidang media bersama Azalina di Bandar Penawar di Kota Tinggi hari ini.
Dalam pada itu, bapa Mohd Sofi, Khairul Fadzilah Awang, 53, mahu golongan muda yang lain menjadikan kisah anaknya sebagai pengajaran dan tidak mudah terpengaruh dengan tawaran kerja bergaji lumayan di luar negara.
"Fikir dahulu sebelum buat keputusan, paling mustahak dengar cakap ibu bapa. Saya sebagai bapa juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Azalina dan pasukan kerana bantu saya dari mula hingga akhir bawa kembali anak saya ke pangkuan keluarga dengan selamat,” katanya.
Sementara itu, Azalina berkata sejurus dimaklumkan tentang sindiket berkenaan yang melibatkan mangsa dari kawasan Parlimennya, beliau terus berhubung dengan Wisma Putra.
“Saya dimaklumkan proses untuk membawa balik mereka memakan masa, memerlukan kos yang banyak dan sukar, sebab itu kita panggil Duta Kemboja untuk bincang dan alhamdulillah dalam seminggu selesai (dibawa pulang).
"Mereka bernasib baik dan kita tidak boleh anggap perkara ini main-main ... saya difahamkan (sekiranya tidak diselamatkan) mereka akan ditahan (imigresen) untuk tempoh enam bulan lagi,” katanya.
- Bernama