Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membuat ulasan dan dapatan berhubung isu penggunaan air perigi terapi di sebuah lokasi di Rembau, Negeri Sembilan yang didakwa mampu memberi manfaat kesihatan kepada individu yang menghidap pelbagai penyakit dalam masa terdekat.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata KKM sebelum ini telah memaklumkan bahawa perhatian serius akan diambil terhadap isu berkenaan.
"Kita sudah jawab perkara itu sebelum ini tetapi akan buat pengulasan dan dapatan dalam masa terdekat ... saya lihat sangat mustahak untuk kita sentiasa celik dan literasi, jangan kita semua tanpa kira bangsa terlalu 'mudah-mudah' dimainkan sangat oleh mereka.
"Tidak salah untuk buat apa-apa sahaja tuntutan, tetapi ia mestilah disertakan dengan bukti yang lengkap, itu pandangan KKM dan kita sedang siasat dan akan bagi dapatan itu dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita di Jitra hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai air perigi terapi ion di Rembau yang didakwa mampu menyembuhkan pelbagai penyakit termasuk strok menerusi teknologi rawatan khas dan lokasi berkenaan turut menjadi tumpuan pengunjung yang ingin mendapatkan air itu.
Terdahulu, beliau yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) merasmikan Konvensyen Amanah Negeri Kedah 2024 di Jitra yang turut dihadiri Pengerusi Amanah Negeri Kedah Asmirul Anuar Aris dan Naib Presiden Amanah Datuk Mahfuz Omar.
Dalam perkembangan lain, ketika diminta mengulas mengenai ketegangan yang berlaku melibatkan isu pengagihan kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Dr Dzulkefly berkata semua perkara boleh dibawa berunding.
"Saya tidak mahu ulas lanjut mengenai isu itu, tetapi dengan semangat kerjasama pastinya semua boleh berunding ... tiada apa yang tidak boleh dirunding.
“Jadi harap dalam semangat untuk memajukan negeri dan negara, kepimpinan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan dapat mencapai persetujuan.
"... akan dapat menyusun agihan kerusi dengan baik, saya menaruh keyakinan mereka akan dapat selesaikan isu ini dan PRN ini akan menjadi cabaran pertama untuk kita lihat kerjasama yang akan dijalinkan ini," katanya.
Sebelum ini, Timbalan Pengerusi Amanah Johor Dzulkefly Ahmad memaklumkan Amanah tidak menolak kemungkinan berlaku pertembungan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
- Bernama