Bekas menteri pendidikan, Maszlee Malik mengingatkan kerajaan bahawa jemaah menteri pada 2019 telah membuat keputusan untuk menubuhkan Akademi Profesor Negara bagi menggantikan Majlis Profesor Negara (MPN).
Menurut Maszlee, Akademi Profesor Malaysia telah menjalankan aktiviti dengan aktif dan berperanan untuk memberi pelbagai pandangan kepada kerajaan.
"Berbeza dengan MPN, Akademi Profesor Malaysia adalah sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang mempunyai keahlian yang terdiri daripada profesor dan profesor madya daripada semua institusi pengajian tinggi di Malaysia.
"Pertubuhan ini dikendalikan oleh suatu Majlis yang dilantik di kalangan ahli-ahli mereka untuk tempoh dua tahun.
"Melalui struktur sebegini, Jemaah Menteri pada masa itu berpandangan pertubuhan ini dapat benar-benar mewakili pandangan profesor dan ilmuan di Malaysia," kata bekas Ahli Parlimen Simpang Renggam itu merujuk keputusan yang dibuat pentadbiran bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.
Semalam, jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil berkata kabinet masih belum memutuskan status MPN berikutan cadangan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) agar kerajaan menilai sama ada entiti itu masih relevan atau tidak.
PAC baru-baru ini mengenal pasti beberapa kebimbangan, termasuk ketidakupayaan untuk menentukan keberkesanan dan fungsi MPN.
Pengerusi PAC, Mas Ermieyati Samsudin, berkata, semakan dijalankan badan itu mendapati tiada indeks prestasi utama (KPI) yang ditentukan dan ia tidak dilaporkan kepada JPM.
Berikutan itu, katanya, aktiviti MPN tidak dijalankan selaras dengan objektif penubuhannya pada 2014.
Mengulas lanjut, Maszlee berkata tidak ada keperluan untuk pihak kerajaan mewujudkan kembali MPN atau menubuhkan badan baru untuk menggembleng peranan profesor di negara ini.
"Langkah yang paling wajar ialah mengukuhkan Akademi Profesor Malaysia sebagai badan yang mewakili pandangan para profesor,” tambahnya.
Pada Julai lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Musfata mengumumkan bahawa kerajaan akan menilai semula status MPN berikutan penemuan dalam Laporan Ketua Audit Negara, yang mendedahkan bahawa majlis telah menggunakan RM373,516 untuk membiayai dua syarikat yang dimiliki oleh ahli lembaga pemegang amanahnya.