Malaysia menyeru Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mengambil tindakan yang segera, tegas, dan bersepadu bagi memastikan keselamatan semua anggota pengaman PBB yang melaksanakan mandat Majlis itu.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Negeri menegaskan bahawa peranan penting Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL) tidak sepatutnya dikompromi.
“Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan rejim Zionis Israel di Sidon, Selatan Lubnan pada 7 Nov 2024 yang mengorbankan tiga orang awam dan mencederakan enam anggota pengaman Malaysia yang bertugas dalam Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) serta tiga orang askar Lubnan.
“Serangan haram berterusan Israel mencabul Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa, Konvensyen Geneva dan Resolusi Majlis Keselamatan PBB 1701 yang merupakan asas kepada mandat UNIFIL untuk melaksanakan misi dan operasi di rantau berkenaan,” menurut kenyataan itu.
Malaysia sekali lagi menegaskan bahawa keselamatan pasukan pengaman PBB serta petugas, konvoi dan infrastruktur misi kemanusiaan perlu sentiasa dilindungi dan diutamakan.
Ini merupakan satu kewajipan di bawah undang-undang antarabangsa yang tidak boleh dikompromi dan harus dipatuhi oleh semua negara tanpa sebarang pengecualian, tegas Kementerian yang turut dikenali sebagai Wisma Putra.
Pada Khamis, sebuah konvoi pasukan pengaman PBB diserang ketika melalui bandar Saida di selatan Lubnan. UNIFIL kini sedang menyiasat insiden itu.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), enam anggota Batalion Malaysia (MALBATT) cedera susulan insiden letupan yang berlaku berdekatan Stadium Saida di Lubnan ketika pergerakan anggota Malbatt 850-12 dari Beirut ke Kem Marakah pada 1.54 tengah hari waktu Lubnan (7.54 malam waktu Malaysia).
Pasukan itu yang terdiri daripada 220 pegawai dan anggota lain-lain pangkat, baru sahaja tiba di Lubnan bagi meneruskan misi pengaman di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu apabila serangan berlaku.
- Bernama